Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pelajar politeknik daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 3.4 kilogram selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dadah terhadap tertuduh.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Harith Izzuddin Mohd Hanizam di akhir kes pendakwaan selepas mendapati wujud keraguan terhadap kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata, mahkamah tidak dapat menerima sepenuhnya keterangan saksi pendakwaan keempat yang juga anggota polis kerana terdapat percanggahan berkaitan apa yang berlaku selepas tertuduh ditahan dan dibawa ke balai polis.

Saksi berkenaan mendakwa sentiasa berada di balai polis untuk menjalankan soal siasat terhadap tertuduh, namun laporan polis yang dikemukakan pihak pembelaan melalui pegawai penyiasat menunjukkan keadaan sebaliknya.

“Mahkamah mendapati saksi pendakwaan keempat bukan seorang saksi yang boleh dipercayai dan ini memberi kesan terhadap pembuktian elemen pemilikan.

“Tanpa elemen pemilikan dibuktikan, andaian pengedaran tidak boleh digunakan dan tiada keterangan langsung dikemukakan bagi membuktikan aktiviti pengedaran berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh lalu memerintahkan Harith dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Harith Izzuddin didakwa mengedar kanabis dengan anggaran berat 3.4 kilogram di lobi sebuah hotel di Jalan Kuching, Sentul pada 26 Februari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast