Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tindakan Menteri Kesihatan mengeluarkan cecair dan gel vape daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952, sebagai tidak rasional.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman berpuas hati, Menteri Kesihatan (ketika itu) terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.

Mahkamah turut berpuas hati, pengecualian tersebut yang dibuat pada 21 Mac 2023 adalah bercanggah (ultra vires) dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengecualikan cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik serta vape daripada Senarai Racun.

Semakan kehakiman itu difailkan oleh Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) atas alasan tindakan mengeluarkan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun adalah salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam K. Shanmuga mewakili tiga NGO berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili Menteri Kesihatan.

Responden sebelum ini menghujahkan, pengecualian itu secara berkesan membenarkan rokok elektronik dan produk vape bernikotin dijual secara bebas tanpa sekatan, termasuk kepada individu berusia bawah 18 tahun.

Dalam penghakimannya, Aliza berkata, mahkamah berpuas hati bahawa keputusan pengecualian tersebut didorong terutamanya oleh faktor ekonomi.

Ia susulan cadangan kerajaan mengenakan duti eksais terhadap cecair rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin ketika pembentangan Belanjawan 2023.

Katanya, kerajaan menyedari rokok elektronik dan cecair vape berbahaya kepada kesihatan, serta Malaysia mempunyai obligasi untuk mengawal selia dan mengehadkan pembekalan, penjualan dan penggunaannya.

Namun, mahkamah berpuas hati, Menteri Kesihatan (responden pertama) tetap meneruskan perintah berkenaan bagi memberi kesan kepada keputusan berhubung percukaian.

Berhubung isu rundingan, mahkamah memutuskan bahawa rundingan dengan Lembaga Racun di bawah Seksyen 6 Akta Racun bukan sekadar mandatori, sebaliknya perlu dibuat secara sedar, bermakna, bertujuan dan berkesan.

Namun demikian katanya, dalam kes tersebut tiada pertemuan fizikal antara responden pertama dan Lembaga Racun.

“Selepas keputusan sebulat suara Lembaga Racun dimaklumkan kepada responden pertama, tiada perbincangan lanjut atau pertukaran pandangan dibuat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan deklarasi yang dipohon di bawah relif berkenaan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 28 Januari lalu, mahkamah mendengar penghujahan Shanmuga bahawa Menteri Kesihatan (ketika itu) terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.

Hujah beliau, keputusan Mac 2023 untuk mengeluarkan cecair nikotin daripada Senarai Racun, bermakna vape menjadi tidak terkawal dan boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, Nurhafizza berhujah, isu yang dibangkitkan oleh peguam telah dimuktamadkan sebelum undang-undang tersebut dilaksanakan.

Hujah beliau, perkara tersebut telah dibincang di peringkat kementerian dan menteri mempunyai kuasa untuk meminda senarai bahan berjadual.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Kesihatan tidak melangkaui kuasa yang diperuntukkan terhadapnya apabila mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.

Menurut afidavit yang difailkan kesemua NGO, mereka mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama telah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.

Ini kerana tindakan mengecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun telah memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast