KUANTAN – Kerajaan negeri akan bertemu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu hadapan untuk berbincang isu berkait kelestarian alam termasuk isu pengurusan dan eksport pasir sungai di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, isu pengurusan dan eksport pasir sungai perlu dinilai secara teliti, menyeluruh serta berpandukan fakta teknikal yang sebenar bagi mencari penyelesaian segera.
“Isu ini tidak boleh disamakan antara aktiviti pengorekan di kawasan hulu sungai dengan kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan hilir dan muara yang mempunyai fungsi serta implikasi berbeza.
“Pasir yang terdapat di kawasan hilir dan muara sungai kebanyakannya adalah hasil mendapan semula jadi akibat hakisan tanah, pergerakan arus serta aliran sungai yang berlaku secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat serta kelestarian sistem sungai di negeri ini.
Tambahnya, jika kerja-kerja mendalamkan sungai tidak dilaksanakan melalui kaedah konsesi pasir yang terkawal, Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos yang amat besar menggunakan peruntukan awam bagi tujuan penyelenggaraan sungai, pengorekan mendapan dan pelaksanaan langkah tebatan banjir secara berterusan.
“Pada masa yang sama, sekatan permit eksport pasir sungai yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini telah memberi kesan langsung kepada operasi industri pasir di Pahang, khususnya melibatkan kawasan hilir dan muara sungai yang sememangnya memerlukan kerja pendalaman secara berkala.
“Oleh yang demikian, isu ini tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata.,” katanya lagi.
Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, kelangsungan industri, peluang ekonomi serta sumber hasil kepada negeri. – MalaysiaGazette
















