Mohd Imran Tamrin

SHAH ALAM – Badan Perhubungan Pemuda UMNO Selangor bersama 22 Bahagian akan menyertai Himpunan Mega Daulat Tuanku sebagai tanda solidariti kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini, pada Sabtu.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Pemuda UMNO Selangor konsisten mempertahankan kedaulatan institusi Diraja yang dilihat semakin dicabar menerusi pelbagai polemik dan penghinaan di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Isu berkaitan kesucian agama Islam, kedaulatan institusi Diraja, ketuanan bangsa Melayu dan perpaduan nasional bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia merupakan asas utama keharmonian rakyat Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Imran berkata, seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan organisasi perlu bersatu mempertahankan perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kestabilan negara.

“Mutakhir ini khususnya di Selangor, timbul pelbagai isu yang menyentuh kedaulatan Institusi DiRaja Selangor bermula dengan pertikaian serta polemik berterusan berhubung titah Sultan Selangor berkaitan larangan penternakan babi di negeri itu.

“Ia diikuti penghinaan terbuka terhadap Tuanku Sultan Selangor di laman media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab, selain wujud kenyataan tertentu yang seolah-olah menyanggah titah baginda sehingga mahu membawa pertikaian tersebut ke mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Imran, kehadiran 22 Pemuda Bahagian UMNO Selangor ke Himpunan Mega Daulat Tuanku bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa institusi Diraja mesti dihormati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat.

“Badan Perhubungan Pemuda UMNO Selangor menyeru seluruh kepimpinan serta ahli-ahli Pemuda UMNO dari 22 Bahagian supaya turun beramai-ramai menyertai himpunan berkenaan sebagai tanda solidariti serta taat setia kepada Sultan Selangor.

Katanya lagi, rakyat Selangor diharapkan dapat bersama-sama hadir bagi menunjukkan pendirian mempertahankan institusi Diraja dengan penuh tertib dan semangat perpaduan.

“Marilah kita bangkit menyatakan tekad dan pendirian bersama demi mempertahankan kedaulatan institusi Diraja serta memastikan keharmonian negeri terus terpelihara,” katanya.

Himpunan Mega Daulat Tuanku dijangka menghimpunkan pelbagai pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan rakyat pelbagai lapisan sebagai tanda sokongan terhadap institusi Kesultanan Selangor susulan beberapa kontroversi yang menyentuh sensitiviti berkaitan istana dan agama sejak akhir-akhir ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast