Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik permainan persepsi dengan menggunakan aliran tahfiz untuk membenarkan pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, pelajar aliran tahfiz selama ini tidak mempunyai masalah untuk memasuki IPTA kerana mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar lain.

Tambah beliau, terdapat ramai pelajar tahfiz yang memasuki IPTA dan IPTS melalui saluran biasa tanpa sebarang masalah besar malah berjaya dalam pelbagai bidang termasuk menjadi pakar dan ahli profesional.

“Jangan gunakan nama tahfiz sekadar kosmetik politik untuk menghalalkan agenda lain. Rakyat hari ini semakin celik. Tidak semua boleh diselindungkan dengan wayang dan permainan persepsi atas nama “Madani”.

“Jadi kenapa tiba-tiba perlu keluar kenyataan khas kononnya lepasan tahfiz kini “berpeluang” masuk ke IPTA? Rakyat boleh membaca apa yang sedang berlaku.

“Hakikatnya isu utama yang mahu diumumkan sebenarnya ialah laluan untuk UEC. Tetapi bagi mengurangkan sensitiviti politik dan reaksi rakyat, nama “tahfiz” diletakkan sekali supaya naratif itu nampak lebih seimbang dan mudah diterima masyarakat Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jika benar kerajaan MADANI mahu memperkasakan pendidikan tahfiz, terdapat banyak lagi isu besar yang masih belum diselesaikan.

Ini termasuk menjaga kebajikan guru tahfiz, pembangunan kurikulum, pengiktirafan dan bantuan terhadap institusi, akses teknologi dan TVET serta peluang pekerjaan graduan tahfiz.

“Inilah wayang politik persepsi. Aliran tahfiz dijadikan tempelan untuk menutup fokus sebenar kerajaan,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lepasan tahfiz, UEC dipertimbang masuk program pengajian tertentu di IPTA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast