Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan polemik berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika ini lebih dipenuhi retorik politik berbanding fakta sebenar dasar pendidikan negara.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, pihak yang hari ini paling lantang menyerang keputusan kerajaan sebenarnya pernah membawa pendekatan hampir sama ketika musim pilihan raya sebelum ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa cuba menimbulkan ketakutan rakyat berhubung isu itu walaupun institusi di bawah pentadbiran Pas sendiri sebelum ini menerima lepasan UEC.

“Rakyat berhak bertanya kenapa hari ini ada pihak mahu berpura-pura terkejut mengenai isu UEC sedangkan institusi di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS sendiri sudah lama membuka ruang kepada lepasan UEC.

“Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kelantan sebelum ini juga menerima kelayakan UEC dengan syarat tertentu.

“Jadi kenapa hari ini baru mahu menjerit kononnya kerajaan mengkhianati sistem pendidikan negara?” tegasnya dalam kenyataan.

Menurut Danish, keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu juga bukan pengiktirafan terbuka seperti yang cuba dimainkan sesetengah pihak.

Katanya, pemegang UEC masih perlu memenuhi syarat ketat termasuk wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia selain tertakluk kepada syarat universiti dan kelulusan Senat Universiti.

“Malah, laluan itu hanya melibatkan program tertentu seperti Pengajian Bahasa Cina, Linguistik Cina dan bidang berkaitan bahasa ibunda sahaja.

“Ia bukannya tiket masuk bebas ke semua kursus kritikal seperti perubatan atau kejuruteraan seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu,” katanya.

Danish berkata, tindakan memainkan sentimen kaum dan ketakutan rakyat demi kepentingan politik sempit hanya akan mengeruhkan keadaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat kini semakin matang dan mampu membezakan antara fakta serta propaganda politik.

“Kalau mahu bercakap soal prinsip, lihat semula manifesto sendiri dahulu. Jangan jadi pembangkang bermusim yang hanya tahu memainkan sentimen apabila berada di luar kerajaan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast