Seorang kakitangan bahagian fisioterapi HPSF maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Temiang, di Muar semalam.

MUAR – Seorang kakitangan bahagian fisioterapi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Temiang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan itu berlaku pukul 5.30 petang melibatkan motosikal jenis Honda ADV 160 dan lori Mitsubishi Fuso.

“Motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun manakala lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori berkenaan sedang membelok ke kanan untuk masuk ke persimpangan dari arah Bukit Pasir menghala ke Jalan Temiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika di lokasi kejadian, motosikal tersebut yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan penghadang tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan.

Katanya, akibat kemalangan itu penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

Menurutnya, pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan, ujian saringan air kencing serta ujian pernafasan ke atas pemandu terbabit mendapati negatif bahan terlarang.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM l50,000.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast