KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) bagi memperkasa ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan.
Kerjasama itu diumumkan pada Majlis Perasmian Kerjasama Strategik MAIWP dan Kementerian Ekonomi yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Melalui kerjasama itu, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin vending makanan serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan, manakala MAIWP menyalurkan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Dr. Zulkifli berkata, sinergi antara MAIWP dan Kementerian Ekonomi membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan rakyat secara menyeluruh menerusi pendekatan whole-of-government.
MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin, sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, program IPR dilaksanakan sejak 2023 bagi membuka peluang kepada rakyat khususnya golongan miskin, miskin tegar dan B40 menjana pendapatan sendiri secara lebih mampan.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan semata-mata, sebaliknya peluang pendapatan perlu diwujudkan untuk membina masa depan rakyat.
Pendekatan kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan semata-mata. Peluang pendapatan itu lebih penting untuk membina masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berkata, sehingga 5 Mei lalu, sebanyak 1,125 unit mesin layan diri IPR-INSAN dipasang di seluruh negara dengan 712 peserta aktif berjaya merekodkan hasil jualan melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi.
Katanya, terdapat juga peserta yang berjaya menjana jualan antara RM10,000 hingga RM11,000 sebulan hasil penempatan mesin vending di lokasi strategik seperti stesen MRT, UTC dan premis tumpuan awam.
Ini membuktikan IPR-INSAN bukan sekadar program bantuan, tetapi satu peluang untuk rakyat berniaga, membina pendapatan sendiri dan keluar daripada kemiskinan dengan lebih berdikari,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi melanjutkan program IPR-INSAN selama 24 bulan lagi supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat kategori B40 khususnya di kawasan bandar.
Selain itu, Masjid Wilayah Persekutuan turut dijadikan lokasi baharu penempatan mesin vending sebagai usaha memperkukuh fungsi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah hab ekonomi ummah.
Sehingga 15 Mei 2026, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM449.8 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan termasuk program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan miliknya. – MalaysiaGazette
















