JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa Majlis Daerah Mersing (MDM) mencari jalan menyelesai isu lambakan najis burung di sekitar bandar Mersing yang kini semakin teruk.
Ketua Pejuanita Muda Pejuang Johor, Nurfatimah Ibrahim berkata, situasi itu membimbangkan serta memberi kesan langsung terhadap kesihatan awam, kebersihan bandar dan imej Mersing sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) kerja-kerja pembersihan berkala dan sanitasi perlu dilaksanakan menggunakan bahan disinfektan yang sesuai, bukannya sekadar pembersihan biasa.
“Pekerja yang menjalankan operasi pembersihan juga perlu dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti sarung tangan dan pelitup muka bagi mengelakkan risiko jangkitan.
“Dalam masa yang sama, langkah kawalan populasi burung perlu dipertingkatkan melalui pemasangan jaring keselamatan, bird spikes atau alat penghalau ultrasonik di premis-premis kosong dan bangunan yang menjadi lokasi tumpuan burung,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap larangan memberi makan burung di kawasan awam juga perlu dilakukan secara lebih tegas bagi mengurangkan populasi burung di kawasan bandar.
Pejuang Johor turut menegaskan bahawa pemilik premis kosong mesti dipertanggungjawabkan terhadap aspek kebersihan bangunan masing-masing.
Tegasnya, jika mereka gagal mengambil tindakan, PBT perlu diberi kuasa untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengambil tindakan sewajarnya demi menjaga kepentingan awam.
Selain penguatkuasaan, pendidikan dan kesedaran masyarakat juga amat penting, katanya.
Menurutnya, kempen kesedaran awam perlu dipergiatkan agar masyarakat memahami bahawa isu ini bukan berkaitan kebencian terhadap haiwan sebaliknya melibatkan soal kesihatan, kebersihan dan kesejahteraan bandar secara keseluruhan.
Jelasnya, rakyat yang membayar cukai berhak menikmati persekitaran bandar yang bersih, selamat dan terurus.
“Bandar Mersing tidak boleh terus dibiarkan berada dalam keadaan kotor sehingga menjejaskan keselesaan penduduk serta mencalar reputasi Johor sebagai negeri pelancongan.
“Najis burung bukan sekadar isu kebersihan semata-mata, tetapi simbol kelemahan pengurusan bandar yang perlu ditangani segera dan berkesan,” katanya.
Pejuang Johor memandang serius isu tersebut dan mendapati premis kosong dan kawasan awam yang menjadi tempat tumpuan burung tanpa kawalan telah menyebabkan najis bertimbun, mencemarkan persekitaran dan menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk serta pelancong.
Masalah itu katanya, tidak boleh dipandang ringan kerana najis burung yang dibiarkan terlalu lama akan mengering, menjadi kerak dan akhirnya pecah menjadi debu halus yang boleh terhidu ke dalam sistem pernafasan manusia.
“Pakar kesihatan turut mengaitkan keadaan ini dengan risiko penyakit seperti Psittacosis, Cryptococcosis dan Histoplasmosis yang boleh menyerang paru-paru serta memberi kesan serius kepada kesihatan,” ujar beliau.
Selain itu katanya, juga boleh mencetuskan alergi, serangan asma, batuk berpanjangan dan jangkitan paru-paru khususnya kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, bayi, ibu hamil, pesakit paru-paru serta individu yang mempunyai sistem imun lemah.
Pejuang Johor berpandangan bahawa isu itu mencerminkan kelemahan daripada sudut pengurusan kebersihan bandar dan penguatkuasaan terhadap premis-premis kosong yang dibiarkan tanpa pemantauan.
“Bandar Mersing sebagai pintu masuk pelancongan ke pulau-pulau terkenal di Johor tidak seharusnya dibayangi dengan masalah kebersihan yang mencacatkan imej bandar dan menjejaskan keyakinan pelancong,” katanya.- MalaysiaGazette
















