Mahfuz Omar (duduk dua kanan) bersama-sama penduduk pada Program Santai Bersama Pengerusi LPP di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berisiko membuatkan parti itu ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) dan PRN 2018.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, hasrat BN Johor untuk bergerak secara solo juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya selalu memperingatkan kepada rakan-rakan daripada BN, mereka harus ingat dalam sejarah 2018 rakyat menolak BN sehingga parti itu hilang kuasa pemerintahan di peringkat nasional dan juga negeri pada waktu itu.

“Jadi saya percaya bahawa sekali lagi rakyat akan bertindak sedemikian (PRN akan datang),” katanya mengulas pengumuman Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa gabungan itu akan bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.

Terdahulu Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hadir pada Program Santai Bersama Pengerusi LPP di Kampung Maju Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pengumuman itu turut memperlihatkan kepimpinan BN di peringkat nasional gagal mengawal pendirian kepimpinan BN Johor berhubung kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Sepatutnya kata beliau, BN Johor perlu sedar bahawa gabungan tersebut berada dalam satu kuasa politik di bawah Kerajaan Madani di peringkat nasional.

“Tetapi saya lihat kerana sikap keras BN Johor yang mahu bergerak solo, akhirnya kepimpinan BN di peringkat nasional hanya mengikut sahaja kehendak itu,” katanya.

Mahfuz berkata, tindakan BN Johor itu juga memberi mesej negatif kepada rakyat kerana dilihat tidak selari dengan semangat penyatuan yang dibawa kerajaan ketika ini.

Mesej yang diberikan oleh UMNO dan BN Johor ini bukan mesej penyatuan, tetapi perpecahan, dakwanya.

“Masyarakat khususnya di Johor mahukan politik penyatuan dan kestabilan. Sebab itu saya percaya rakyat akan menilai perkara ini dengan matang dalam menentukan sokongan mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast