KUALA LUMIPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyifatkan Pas kini hanya selangkah lagi untuk memerintah negara susulan pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu.
Menurut beliau, perubahan akan berlaku apabila kepimpinan negara terdiri daripada mereka yang takut kepada Tuhan.
“Saya tidak bercakap tentang pemimpin yang hanya mempamerkan keagamaan mereka kepada para pengundi, tetapi mereka yang benar-benar mempunyai iman yang mendalam dan takut akan kemurkaan Tuhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Tambah Mohd Zaid, dengan keberanian dan ketegasannya, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan undang-undang kepada semua tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Ujarnya, Ahmad Samsuri juga seorang yang memandang amanah dengan serius iaitu kuasa tidak boleh disalahgunakan dan kekayaan negara mesti diagihkan secara adil.
“Kepimpinan yang tidak membezakan kaum dan etnik.
“Pas dan Dr Samsuri bukan golongan radikal atau ekstrem; mereka mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan tidak berminat untuk memerangi demokrasi.
“Mereka mahukan keamanan dan keharmonian demi menegakkan keadilan untuk rakyat negara ini,” katanya.
Terdahulu, PN hari ini mengumumkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas sebagai Ketua Pembangkang baharu sekali gus menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi gabungan itu yang dipengerusikan Ahmad Samsuri hari ini. – MalaysiaGazette
















