KLUANG – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas terbabit kemalangan dua kenderaan di Kilometer 74.7, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 3.50 petang melibatkan motosikal jenis Harley Davidson dengan kereta BMW.

“Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 47 tahun bersama-sama isterinya, 44 tahun yang menaiki motosikal tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh atas jalan dan pada masa sama kereta terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang berada di laluan sama tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, isteri lelaki tersebut iaitu pembonceng mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HNSI) di sini manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Tambahnya, boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian hotline:07-7784222, direct line tablet DCC: 07-7766822 atau 014-365682.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast