Skuan Iran menghadapi Piala Dunia FIFA 2026. Foto The Daily Star.

TEHRAN – Iran akhirnya mengesahkan kehadrian skuad kebangsaan mereka akan berangkat ke Turkiye esok bagi menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia FIFA 2026.

Pengendali Iran, Amir Ghalenoei berkata, Team Melli itu akan menjalani latihan di Antalya selain mengharungi beberapa aksi persahabatan dan menyelesaikan urusan visa sebelum ke Amerika Syarikat.

Iran membawa 30 pemain ke kem berkenaan, namun jumlah itu perlu dikurangkan kepada 26 pemain mengikut peraturan Piala Dunia.

Antara pemain paling terkenal dalam skuad itu ialah bekas penyerang FC Porto, Mehdi Taremi, yang kini beraksi bersama Olympiacos.

“Memilih 30 pemain untuk kem terakhir sebelum Piala Dunia adalah keputusan teknikal paling sukar sepanjang karier kejurulatihan saya,” kata Ghalenoei kepada laman rasmi persekutuan bola sepak Iran.

Menurutnya, pemilihan dibuat sepenuhnya berdasarkan kriteria teknikal.

Iran berharap dapat mengadakan dua aksi persahabatan di Antalya dan sudah mengesahkan satu perlawanan menentang Gambia pada 29 Mei.

Ketua Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj berkata, setakat ini belum ada visa dikeluarkan kepada pemain.

Iran dan Amerika Syarikat memutuskan hubungan diplomatik sejak tahun 1980 dan pemain dijangka menggunakan tempoh di Turki untuk melengkapkan proses permohonan visa termasuk cap jari.

Taj turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, ketika Tehran mendapatkan jaminan keselamatan buat skuad mereka susulan ketegangan geopolitik semasa.

Delegasi Iran turut bertemu Presiden Persekutuan Bolasepak Turkiye, Ibrahim Ethem Haciosmanoglu, dan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, di Istanbul semalam.

Apabila tiba di Amerika Syarikat nanti, Iran akan menjadikan Tucson, Arizona sebagai pangkalan mereka.

Iran dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum bertemu Belgium dan Mesir. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast