Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Kampung Bantal di Jerantut bakal dinaik taraf dan dinamakan Kampung Diraja yang pertama di Pahang.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah merealisasikan hasrat tersebut ketika berkenan menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan alat perubatan oleh Institut Jantung Negara serta bantuan kepada golongan asnaf di Kampung Bantal semalam.

“Saya nak jadikan kampung ini sebagai kampung khas, tapi jika beberapa penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan.

“Kita naik taraf supaya jadi Kampung Diraja. Belum lagi di Pahang ini ada Kampung Diraja, ini pertama kali,” titah baginda.

Titah Al-Sultan Abdullah, antara projek utama yang bakal dilaksanakan termasuk pembinaan jambatan serta jalan fasa kedua yang akan menghubungkan Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Sekolah Kebangsaan Gusai.

Menurutnya, usaha pembangunan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas rakyat, malah mampu menjadikan kawasan terbabit lebih tersusun, moden dan berdaya maju.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling, bagi memulakan keberangkatan rasmi selama tiga hari ke kawasan pedalaman berkenaan.

Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling


Sepanjang berada di Kampung Bantal, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni rakyat yang hadir serta mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.

Antara pengisian program sepanjang keberangkatan tersebut termasuk solat Jumaat bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, majlis gotong-royong, program saringan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) serta program ziarah kasih di Kampung Gusai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast