Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

JOHOR BAHRU – Kerajaan Pusat memainkan peranan penting membangunkan Johor terutama dalam memperkukuh ketersambungan dan sistem pengangkutan termasuk melalui projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bernilai lebih RM10 bilion yang diluluskan Kabinet baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek mega itu bertujuan menyokong perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura yang memerlukan penelitian dan kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Ada pihak kata kita lambat (untuk luluskan), tentulah kita kena ambil masa untuk kaji. Ini bukan projek RM10,000 (tetapi) RM10 bilion, kena ambil masa sedikit untuk teliti, macam mana kita hendak laksanakan.

“Tetapi sementara belum ada ART, kita ada pelan sandaran, kita tambah bas dekat Johor Bahru untuk disperse penumpang-penumpang RTS Link,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, projek RTS Link yang hampir 90 peratus siap itu juga berupaya dilaksanakan hasil sokongan penuh Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan terutama dalam membantu menyelesaikan isu tanah dan kontraktor bermasalah.

Beliau berkata, RTS Link yang dijangka beroperasi pada Januari tahun depan bakal menjadi pemangkin kepada pelbagai projek pembangunan di Johor, sekali gus membawa kepada ketersambungan sistem pengangkutan Johor Bahru–Singapura.

Katanya, pembangunan pengangkutan di Johor juga dapat dilihat menerusi beberapa projek lain yang berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan Perdana Menteri termasuk projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, perkhidmatan tren elektrik (ETS) Johor Bahru Sentral (JB Sentral)–Segamat serta usaha memastikan kelancaran di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di pintu masuk sempadan negeri itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pencapaian dan pembangunan pesat Johor yang didorong oleh Kerajaan Persekutuan perlu diketengahkan kepada rakyat apabila memasuki gelanggang pilihan raya negeri akan datang.

Pada Disember lalu, Anthony berkata, kelulusan bagi projek ART sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

ART yang dicadang di Johor Bahru melibatkan 32 stesen dengan jajaran melebihi 50 kilometer dan pada awalnya dianggarkan menelan kos kira-kira RM7 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast