Anthony Loke

JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi daripada Barisan Nasional (BN) jika tidak berpuas hati dengan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ini kerana menteri terbabit yang turut bersetuju dengan keputusan Kabinet datang daripada BN.

“Siapa Menteri Pendidikan Tinggi? Menteri Pendidikan Tinggi daripada Barisan Nasional. Kamu MCA dalam Barisan Nasionalkan?

“Kalau tak puas hati, carilah Menteri daripada Barisan Nasional. Yang buat syarat dan polisi bukan Anthony Loke. Bukan DAP. Jangan salahkan DAP. Kita nak selesai cepat. Kalau nak selesai cepat, bincanglah dengan Menteri Pendidikan Tinggi daripada Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/16/uec-belum-diiktiraf-sepenuhnya-mca-desak-dap-tunaikan-janji-lama/

Katanya, mandat telah diberikan oleh Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengiktiraf UEC atas persetujuan secara bersama selepas perkara itu sudah lama menjadi isu yang tidak diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban meminta rakyat tidak terperangkap dengan isu-isu seperti itu yang dimainkan pihak lawan.

“UEC ini isu pendidikan. Akses kepada pendidikan. Hari ini, kita ada Perdana Menteri yang nak memberikan akses pendidikan yang adil kepada semua. Ini bukan isu politik.

“Ini bukan isu bahasa. Bahasa Melayu kita perkasakan. Tengok saya punya slide (rujukan ketika berucap) semua pakai bahasa Melayu. Menteri daripada Keadilan pun tak pakai Bahasa Melayu (dalam slide),” ujarnya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Beliau berkata, orang Melayu tidak perlu bimbang kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan selama-lamanya yang diiktiraf DAP.

“Hari ini, kita nak anak-anak Malaysia kuasai pelbagai bahasa. Bahasa Melayu hebat. Bahasa Cina hebat. Bahasa Inggeris hebat. Bahasa Tamil juga hebat. Kalau boleh, bahasa Arab juga kita hebat.

“Inilah kerajaan Madani. Inilah falsafah kita. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan. Yakinlah kepada perjuangan kita,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast