JOHOR BAHRU – Laungan ‘tolak UMNO’, ‘pengkhianat’ dan ‘reformasi’ bergema hampir di setiap sudut Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor ketika ribuan ahli serta perwakilan Pakatan Harapan (PH) berhimpun dalam Konvensyen PH, hari ini.
Suasana dewan beberapa kali bertukar panas apabila perwakilan dan penyokong bangun melaungkan slogan berkenaan ketika pemimpin utama PH menyampaikan ucapan masing-masing.
Antara laungan yang paling kuat kedengaran ialah “Tolak! Tolak! Pengkhianat!” dan “Tolak UMNO!” selain sorakan “Reformasi!” yang disambut beramai-ramai oleh hadirin.
Laungan tersebut kedengaran ketika sesi ucapan melibatkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, wakil PH Melaka, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.
Malah, beberapa ucapan pemimpin turut disambut dengan sorakan mempertahankan kerajaan PH di Negeri Sembilan susulan isu politik melibatkan sokongan terhadap kerajaan negeri itu sebelum ini.
“Kita akan pertahankan kerajaan PH Negeri Sembilan” jerit sekumpulan perwakilan ketika Aminuddin menyampaikan ucapan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata perwakilan yang ditemui melahirkan rasa kurang senang terhadap apa yang disifatkan sebagai ‘pengkhianatan politik’ melibatkan Negeri Sembilan selain pendirian UMNO Johor yang mahu bertanding secara solo di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Turut menjadi perhatian ialah cadangan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor yang dibangkitkan dalam beberapa perbualan dalam kalangan perwakilan.
Seorang perwakilan dari Selangor yang enggan dikenali berkata, ramai ahli akar umbi PH ketika ini mahu gabungan itu bergerak dengan kekuatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita hormat kerajaan perpaduan, tetapi akar umbi masih terluka dengan banyak perkara yang berlaku sebelum ini.
“Ramai mahu PH berdiri sendiri dan kembali kepada semangat asal reformasi,” tegasnya.
Nada sama turut disuarakan seorang lagi perwakilan dari Pulau Pinang yang menyifatkan laungan dalam dewan itu sebagai manifestasi suara sebenar akar umbi PH.
“Ini bukan soal benci semata-mata, tetapi soal kepercayaan dan maruah perjuangan,” katanya.
Konvensyen PH 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 perwakilan dan pimpinan seluruh negara membuka tirainya hari ini dengan fokus terarah kepada persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’, konvensyen sehari itu bermula pada 8.30 pagi menerusi sesi town hall sayap PH dan ucapan pengerusi-pengerusi PH negeri.
Kehadiran pimpinan utama gabungan itu dijadual bermula pada 1.30 tengah hari dalam sesi Majlis Presiden.
Antara pemimpin yang dijangka menyampaikan ucapan ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Amanat Anwar yang dijadualkan pada 3.35 petang dijangka menyentuh mengenai hala tuju strategik gabungan itu khususnya bagi menghadapi PRN Johor dan Melaka yang semakin hampir selain memperkukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16. -MalaysiaGazette

















haaa lawak..tolak UMNO? Tanpa UMNO korang boleh tubuh kerajaan? Anwar blh jd PMX kaa? Tak sedar diri