MELAKA – Tindakan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai, Jasin menutup pagar pada jam 7.30 pagi dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai langkah mengatasi masalah pelajar yang kerap ponteng serta datang lewat ke sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu bukan dibuat secara individu oleh pengetua, sebaliknya hasil persetujuan dalam mesyuarat PIBG baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu dikuatkuasakan sejak Januari hingga April lalu membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah berkenaan yang mempunyai seramai 663 pelajar.
Katanya, langkah berkenaan diambil selepas sekolah terbabit merekodkan kehadiran paling rendah dalam kalangan 35 sekolah menengah di daerah Jasin dengan purata kehadiran hanya 90.27 peratus.
“Sepanjang Januari hingga April, jumlah kekerapan ponteng direkodkan sebanyak 1,550 kes dengan purata 23 pelajar tidak hadir setiap hari.
“Daripada jumlah itu, seramai 429 pelajar direkodkan tidak hadir antara satu hingga 10 hari, 88 pelajar (11 hingga 20 hari), 14 pelajar (21 hingga 30 hari) manakala 19 murid pula ponteng lebih 30 hari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat 12 murid yang dikenal pasti kerap datang lewat ke sekolah membabitkan seorang pelajar tingkatan dua, lima pelajar tingkatan tiga, empat pelajar tingkatan empat dan dua pelajar tingkatan lima.
“Jadi pengetua terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah apabila ada 12 murid yang kerap datang lewat dan keputusan menutup pagar pada jam 7.30 pagi itu juga dipersetujui dalam mesyuarat PIBG sekolah.
“Jadi ini bukan keputusan pengetua seorang diri kerana PIBG sendiri bersetuju tindakan lebih tegas perlu dibuat kerana sekolah ini merekodkan masalah ponteng paling tinggi,” katanya.
Menurut Rahmad, pengetua sekolah terbabit yang mempunyai pengalaman lebih dua tahun di sekolah itu turut menunjukkan keberkesanan pendekatan lebih tegas apabila kadar kehadiran pelajar kini meningkat melebihi 90 peratus.

Terdahulu, kes itu tular di aplikasi Threads apabila satu hantaran mendakwa pengetua sekolah terbabit menghalang murid hadir ke sekolah dan menafikan hak pelajar untuk belajar susulan tindakan menutup pagar sekolah.
Hantaran itu turut memaparkan kain rentang bertulis “Mohon KPM Ambil Tindakan!!! Pengetua SMK Sungai Rambai, Pengetua Bermasalah, Halau Murid Hadir Ke Sekolah, Menafikan Hak Murid Untuk Belajar”.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, tindakan menggantung kain rentang tanpa kebenaran itu tidak wajar kerana pihak sekolah tidak pernah menghalang murid mendapatkan pendidikan, malah sentiasa membuka ruang rundingan dengan ibu bapa.
“Pihak guru juga telah menjalankan ziarah cakna ke rumah pelajar yang kerap ponteng namun terdapat segelintir ibu bapa enggan hadir berbincang apabila dipanggil pihak sekolah.
“Kalau kita tidak bertegas, masalah ponteng akan terus berlaku sebab itu tindakan pengetua ini disokong PIBG demi memastikan disiplin dan kehadiran pelajar dapat dipertingkatkan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Rahmad turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap kehadiran anak-anak ke sekolah selain memantau penggunaan gajet dan permainan video yang dilihat antara punca utama pelajar ponteng sekolah. – MalaysiaGazette
















