KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan asing Indonesia (VNAI) yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan kira-kira pukul 2.32 petang oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan lebih kurang 15 batu nautika utara Pulau Jarak.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, vesel jenis tradisional itu dikendalikan empat kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Indonesia berusia antara 20 hingga 34 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.
“Mereka turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, semua yang ditahan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh.
Tambah beliau, Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel nelayan asing yang menjejaskan sumber perikanan tempatan serta keselamatan perairan negara.
“Komuniti maritim juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















