Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika membuat lawatan pelupusan kenderaan oleh Pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), Car Medic Sdn Bhd di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MEI 2026

SEMENYIH – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya melupuskan sebanyak 4,622 kenderaan buruk dan tersadai sejak 2022 hingga 2025 bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan serta pembiakan nyamuk di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, dalam tempoh tersebut DBKL menerima sebanyak 9,411 aduan berkaitan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar Kuala Lumpur.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,637 kenderaan berjaya ditarik keluar dan dibawa ke depoh DBKL untuk tindakan lanjut.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,622 telah berjaya dilupuskan manakala selebihnya dituntut semula oleh pemilik kenderaan,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke fasiliti Car Medic di Semenyih hari ini.

Beliau berkata, lawatan itu bertujuan memastikan proses pelupusan kenderaan dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi prosedur ditetapkan.

Katanya, isu kenderaan tersadai memberi kesan terhadap kebersihan bandar, keselamatan, imej kawasan perumahan selain menggalakkan vandalisme dan pembiakan nyamuk.

Bagi tahun 2026 sehingga Mei pula, Hannah berkata, sebanyak 1,504 lagi kenderaan berjaya ditarik keluar dan ditempatkan di depoh DBKL.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 367 kenderaan masih dalam proses pelupusan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, situasi itu menunjukkan keperluan tindakan pengurusan dan pelupusan lebih cekap serta tersusun termasuk menerusi program pelupusan secara sukarela bersama Car Medic Sdn. Bhd. yang menawarkan ganjaran tunai kepada pemilik kenderaan.

Hannah turut memaklumkan bahawa, beliau bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur telah membangkitkan isu berkenaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke minggu lalu bagi memperkukuhkan kerjasama antara DBKL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, langkah itu penting supaya proses semakan, sitaan dan pelupusan kenderaan dapat dipercepatkan sekali gus mengelakkan pembaziran ruang di kawasan bandar dan perumahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika melihat komponen kenderaan yang telah dikeluarkan di Pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF), Car Medic Sdn Bhd di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 Mei 2026.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk melupuskan kenderaan menerusi Car Medic tanpa perlu menunggu tindakan DBKL atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Rakyat yang tinggal di luar Program Perumahan Rakyat (PPR) boleh secara proaktif menghubungi terus Car Medic untuk melupuskan kenderaan.

“Hasrat kita supaya lebih banyak ruang parkir awam dapat dikosongkan selain mengatasi masalah pembiakan nyamuk, pembaziran tempat letak kereta dan kawasan perumahan yang tidak teratur,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan persatuan penduduk PPR untuk mengedarkan poster berkaitan program pelupusan kenderaan kepada penduduk. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast