Chan Chun Kuang

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menyeru kerajaan menghentikan budaya melabel dan mengintimidasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan dakwaan terhadap Mandiri berhubung isu penerimaan dana asing.

Beliau berkata, fokus utama pihak berkuasa seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh demokrasi serta menyiasat isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih besar kepentingannya kepada rakyat.

Menurutnya, dakwaan bahawa Mandiri menerima dana asing tidak wajar dijadikan alasan untuk memusuhi NGO atau gerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan agenda integriti, hak asasi manusia, keadilan sosial dan anti rasuah.

“Sebaliknya, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka menerima pandangan kritikal dan melakukan muhasabah bagi memperbaiki kelemahan institusi negara.

“Dalam sistem demokrasi, kerajaan bukan institusi yang kebal daripada kritikan atau pertikaian. Pentadbiran perlu terus relevan dengan kehendak rakyat dan bukannya mengambil pendekatan memusuhi pihak yang berbeza pandangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Chun Kuang berkata, permohonan geran oleh NGO sama ada dari dalam atau luar negara merupakan perkara biasa dalam masyarakat sivil antarabangsa selagi mematuhi undang-undang serta melalui proses kewangan yang telus dan diaudit mengikut prosedur.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin dan parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) ketika berada di blok pembangkang sebelum ini pernah berdepan pelbagai dakwaan berkaitan penerimaan dana asing termasuk dikaitkan dengan Open Society Institute dan National Democratic Institute.

Katanya, gabungan reformasi pilihan raya, BERSIH juga pernah menjadi sasaran tuduhan serupa ketika dikaitkan dengan pembangkang.

“Oleh itu, tidak wajar hari ini ada pihak yang mengambil pendekatan berbeza hanya kerana kedudukan politik telah berubah. Pendekatan dua piawaian seperti ini harus dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, ramai pimpinan kerajaan hari ini sendiri pernah melalui pengalaman dituduh pelbagai perkara ketika berada di pihak pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim seharusnya memahami realiti perjuangan masyarakat sivil dan gerakan reformasi yang pernah dilalui sebelum ini.

Dalam pada itu, Chun Kuang menegaskan nilai sejagat seperti demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosial dan usaha membanteras rasuah merupakan agenda universal yang diperjuangkan masyarakat antarabangsa tanpa mengira sempadan kewarganegaraan dan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman.

Beliau pada masa sama menggesa pihak berkuasa memberi tumpuan kepada siasatan terhadap isu lebih besar melibatkan penyalahgunaan kuasa termasuk dakwaan berkaitan mafia korporat serta kontroversi pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menurutnya masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast