KUALA LUMPUR – Johor terus mengorak langkah sebagai hab ekonomi digital negara apabila muncul negeri pertama melaksanakan teknologi CODE+ dalam pembangunan pusat data hiperskala bagi menyokong agenda rendah karbon dan pembangunan mampan.
Pelaksanaan teknologi hijau itu diumumkan sempena pelancaran Pusat Kecemerlangan (COE) milik Princeton Digital Group (PDG) di kampus Sedenak yang turut menyaksikan pembukaan fasiliti pusat data JH1 Fasa 4 dan Fasa 5.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han yang mewakili Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NMB), Dr Rezal Khairi Ahmad; Ketua Pegawai Teknologi merangkap Pengarah Urusan PDG, Asher Ling dan Pengerusi IDC Global Holdings Sdn Bhd, Roger Heng.
Turut berlangsung ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Princeton Digital Group dan IDC Global Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh penggunaan teknologi rendah karbon dalam sektor pembinaan serta pembangunan pusat data di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, NanoMalaysia Berhad turut mengiktiraf teknologi CODE+ sebagai inovasi penyahkarbon berasaskan graphene yang dibangunkan saintis tempatan dan kini mula digunakan pengendali pusat data antarabangsa.
“CODE+ merupakan teknologi penyahkarbon proprietari berasaskan graphene pertama di dunia yang dibangunkan oleh saintis Malaysia bagi merevolusikan amalan pembinaan mampan.
“Direka untuk menyokong pematuhan ESG sambil menawarkan penjimatan kos yang signifikan, CODE+ memperkenalkan inovasi berimpak tinggi yang meningkatkan prestasi alam sekitar dan kecekapan operasi merentasi industri pembinaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, fasiliti PDG JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 kini antara pembangunan pusat data hiperskala terawal di negara ini yang mengaplikasikan teknologi CODE+ bagi membantu mencapai aspirasi neutral karbon Malaysia menjelang 2030.
Sementara itu, Chang Lih Kang berkata, pembangunan ekonomi digital tidak boleh lagi dipisahkan daripada agenda kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Persoalannya bukan lagi sejauh mana pantas kita berkembang, tetapi sejauh mana baiknya kita berkembang,” katanya.
Beliau berkata, sektor pembinaan pusat data kini berdepan cabaran besar termasuk pelepasan karbon tinggi, pengurusan haba, penggunaan tenaga dan air serta risiko keselamatan struktur sepanjang hayat operasi bangunan.
Katanya, teknologi CODE+ diyakini mampu membantu mengurangkan impak tersebut selain memanjangkan jangka hayat operasi pusat data serta menurunkan kos jangka panjang kepada industri.
Menurut beliau, kerjasama antara PDG dan IDC membuktikan inovasi tempatan kini bukan lagi di peringkat makmal atau projek rintis, sebaliknya sudah digunakan secara nyata dalam pembangunan pusat data berskala besar.
Dalam pada itu, pelancaran COE di Johor turut dilihat mampu mengukuhkan lagi peranan negeri itu sebagai pintu masuk strategik kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain menjadi hab pembangunan bakat dan teknologi ekonomi digital negara. – MalaysiaGazette
















