KUANTAN – Seorang lelaki meninggal dunia akibat ditimpa buah kelapa sawit dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukti Goh, di sini kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Nor Apian Md Said, 50, dikatakan sedang mengait buah kelapa sawit di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Deerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, kejadian dilaporkan rakan sekerja mangsa yang turut mengambil upah mengait buah kelapa sawit di ladang terbabit pada waktu itu.
“Kejadian hanya disedari salah seorang daripada rakan mangsa yang mahu mengutip buah sawit yang dikait oleh mangsa.
“Namun, mangsa didapati telah rebah dan berlumuran darah dipercayai ditimpa buah sawit tersebut yang dianggarkan seberat 15 kilogram yang jatuh dari pokok anggaran ketinggian 40 kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pihak polis dan petugas kesihatan dari Klinik Bukit Goh bergegas ke lokasi terbabit sejurus menerima laporan dan mengesahkan mangsa yang merupakan bapa kepada lapan orang anak itu telah meninggal dunia di lokasi tersebut.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette
















