Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam pada sidang media berhubung pelaksanaan Operasi Khas Lebih Muatan di sekitar Kuala Lumpur yang menyasarkan kenderaan perdagangan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya terus terpelihara.

KUALA LUMPUR – Dua puluh dua kenderaan perdagangan ditahan dalam Operasi Khas Lebih Muatan yang dijalankan di sekitar ibu negara dari 15 hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur,  Hamidi Adam berkata, daripada 22 kenderaan yang ditahan itu, tujuh melibatkan pemandu warga asing manakala bakinya dipandu warga tempatan.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Selain saman dan pendakwaan di mahkamah, JPJ WPKL juga tidak akan teragak-agak melaksanakan tindakan sitaan serta memohon perintah lucut hak terhadap kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan serius dan berulang,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Hamidi berkata, Ops Khas Lebih Muatan itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKKL bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara selain meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengendali kenderaan barangan.

Menurut beliau, fokus operasi tertumpu di laluan utama keluar masuk kenderaan perdagangan, kawasan pembinaan, tapak projek pembangunan serta kawasan perindustrian yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelanggaran syarat teknikal kenderaan perdagangan.

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan terutama melibatkan kesalahan lebih muatan kerana ia boleh mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut fokus tertentu yang ditetapkan pihak jabatan.

“Kami akan teruskan, cuma ada sesetengah masa itu kita fokus pada kenderaan perdagangan atau kenderaan awam.

“Untuk operasi kali ini, kita fokus pada kenderaan lebih muatan,” katanya.

Hamidi berkata, bermula Januari hingga pertengahan Mei 2026, sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 3,082 kenderaan diambil tindakan.

Sebanyak 5,329 notis saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan serta pelanggaran syarat Lesen Kenderaan Motor dan Keperluan Tahap Perkhidmatan.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada semua pengusaha dan syarikat pengangkutan supaya tidak menjadikan keuntungan sebagai alasan untuk mengabaikan undang-undang keselamatan awam.

Katanya, sebanyak 31 syarikat pengangkutan telah dikenakan tindakan mahkamah dari Januari hingga Mei 2026 dengan jumlah denda keseluruhan mencecah RM463,000.

“Termasuk sebuah syarikat yang disabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan dan dikenakan denda RM85,000.

“Hukuman ini membuktikan ketegasan JPJ WPKL dalam memastikan undang-undang dipatuhi serta memberi mesej jelas bahawa kesalahan lebih muatan akan dikenakan tindakan keras,” katanya. – Malaysia Gazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast