JOHOR BAHRU – Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal yang lain.
Itu antara kesalahan utama yang dikesan dalam Ops Luxury dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di beberapa lokasi strategik di negeri ini sejak awal tahun ini hingga semalam.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya menyita 44 kenderaan mewah atas kesalahan tersebut.
Jelasnya, operasi khas tersebut dilakukan hasil risikan, pemantauan serta aduan orang awam berhubung tahap pematuhan undang-undang jalan raya melibatkan golongan pemilik kenderaan berkenaan.
“Tindakan sita dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah berkaitan selepas pemilik dikesan melakukan pelbagai kesalahan teknikal dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain tindakan sita, JPJ mengeluarkan Notis JPJ P(22) terhadap pemilik dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Katanya, pemeriksaan teknikal turut dijalankan bagi memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan selain tidak mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Dalam pada itu, katanya, JPJ Johor tidak akan berkompromi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara adil serta tegas tanpa mengira jenama mahupun nilai sesebuah kenderaan.
Pelaksanaan Ops Luxury katanya, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tiada sebarang pengecualian terhadap pematuhan undang-undang jalan raya walaupun melibatkan kenderaan berstatus mewah.
“Kita akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan ini secara berkala dari semasa ke semasa dalam usaha memperkukuhkan pematuhan undang-undang dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















