DENGKIL – Usaha bersepadu sedang giat digembleng bagi membebaskan kira-kira 350 aktivis termasuk 25 dari Malaysia yang diculik tentera Israel selepas 40 kapal flotila kemanusiaan dipintas rejim itu ketika dalam misi menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang berhubung rapat dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Turkiye dan Sepanyol bagi menyelaras tindakan diplomatik antarabangsa.
“YAB Perdana Menteri memaklumkan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan para pemimpin negara-negara Eropah termasuk Turkiye, Sepanyol dan lain bagi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera melalui usaha diplomatik bersepadu,” katanya semasa sidang media khas di SNCC, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Dalam kejadian itu, sebanyak 40 kapal flotila membawa hampir 350 aktivis kemanusiaan dilaporkan dipintas dan diceroboh IOF di perairan antarabangsa.
Menurut Sani Araby, perkembangan diplomatik turut menunjukkan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap isu berkenaan.
“49 ahli parlimen daripada Kesatuan Eropah telah membuat satu kenyataan dan mendesak pengerusi ataupun presiden Kesatuan Eropah melakukan satu tindakan yang lebih rasmi.
“Sehingga saat tadi kita dimaklumkan lebih daripada 50,000 petisyen seluruh dunia dihantar kepada setiap negara”,katanya. – MalaysiaGazette
















