PILIHAN Raya Umum Ke-16 (PRU-16) bakal menjadi titik paling penting dalam perjalanan politik Malaysia pasca PRU15. Jika sebelum ini rakyat menerima pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai jalan keluar daripada kemelut politik yang berpanjangan, suasana menjelang PRU16 jauh lebih kompleks dan mencabar.
Rakyat tidak lagi sekadar mahu mendengar alasan tentang keperluan kestabilan politik. Mereka mahu melihat sama ada kestabilan itu benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan harian.
Selepas PRU15, gabungan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai formula menyelamatkan negara daripada ketidaktentuan politik.
Dalam keadaan tiada gabungan memperoleh majoriti mutlak, kerjasama rentas ideologi menjadi pilihan yang hampir tidak dapat dielakkan. Pada ketika itu, rakyat masih boleh memahami bahawa kestabilan negara lebih penting daripada persaingan politik yang tidak berkesudahan.
Namun politik tidak boleh terus bergantung pada naratif penyelamatan. Sesebuah kerajaan akhirnya akan dinilai berdasarkan keberkesanan pentadbirannya. Dalam konteks ini, PRU16 bukan lagi medan untuk menentukan siapa paling bijak membentuk pakatan, sebaliknya siapa paling berjaya memahami denyut nadi rakyat.
Cabaran terbesar Kerajaan Perpaduan ialah membuktikan bahawa kompromi politik yang terbentuk selepas PRU15 bukan sekadar perkongsian kuasa elit.
Rakyat mahu melihat sama ada kerajaan benar-benar mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup, memperluas peluang pekerjaan, menyediakan perumahan mampu milik dan memperbaiki mutu perkhidmatan awam.
Jika kestabilan politik hanya menghasilkan keselesaan kepada pemimpin tanpa memberi kesan nyata kepada rakyat biasa, maka kestabilan itu akan kehilangan legitimasi moralnya.
Di sinilah PRU-16 menjadi sangat menarik. Pilihan raya ini bukan sahaja akan menguji kekuatan gabungan pemerintah, malah turut menguji sejauh mana rakyat masih percaya bahawa politik mampu menjadi alat penyelesaian masalah, bukannya sekadar pentas perebutan kuasa.
Cabaran PRU16 dan pertembungan naratif politik
Menjelang PRU16, landskap politik negara sedang bergerak ke arah yang lebih rencam. Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran besar untuk mengekalkan sokongan dalam keadaan rakyat semakin kritikal terhadap prestasi semasa. Pada masa yang sama, kemunculan gerakan politik baharu yang dipelopori Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melalui Parti Bersama Malaysia (Bersama) menambahkan lagi lapisan persaingan politik.
Langkah kedua-dua tokoh tersebut meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengambil alih Bersama membuka ruang kepada naratif politik baharu. Mereka cuba membawa imej kuasa ketiga yang kononnya lebih progresif dan lebih dekat dengan aspirasi generasi muda.
Tindakan mengosongkan kerusi Parlimen sebelum menyertai parti baharu pula cuba digambarkan sebagai tindakan bermoral demi menghormati mandat pengundi.
Walau bagaimanapun, persoalan lebih besar ialah sejauh mana pendekatan itu benar-benar mampu mengubah lanskap politik negara. Dalam politik Malaysia, idealisme semata-mata tidak cukup untuk memenangkan pilihan raya. Politik juga memerlukan struktur akar umbi yang kukuh, jentera yang tersusun dan kemampuan membina keyakinan jangka panjang.
Bersama mungkin berjaya menarik perhatian kelompok pengundi bandar dan profesional muda yang kecewa dengan politik tradisional, tetapi cabaran sebenar ialah menembusi sentimen pengundi luar bandar yang masih banyak dipengaruhi faktor identiti, jaringan setempat dan kesetiaan parti.
Di pihak Kerajaan Perpaduan pula, cabaran mereka lebih berat kerana berada dalam kedudukan mempertahankan kuasa. Rakyat sentiasa menilai kerajaan dengan standard yang lebih tinggi berbanding pembangkang.
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, tekanan harga barang dan keresahan berkaitan kos hidup mudah menjadi peluru politik paling berkesan.
Kerajaan mungkin boleh menunjukkan angka pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, peningkatan pelaburan asing atau usaha memperkukuh fiskal negara.
Namun bagi rakyat biasa, ukuran sebenar ekonomi jauh lebih mudah. Mereka menilai kerajaan melalui harga makanan di pasar, kadar sewa rumah, peluang pekerjaan dan kemampuan menyara keluarga. Jurang antara naratif makroekonomi dengan realiti mikro rakyat boleh menjadi ancaman paling besar kepada kerajaan.
Keadaan ini menjadikan PRU16 sebagai pilihan raya berasaskan emosi sosial dan pengalaman hidup. Rakyat tidak lagi mudah terpesona dengan slogan besar atau retorik pembangunan.
Mereka mahu dasar yang benar-benar dirasai. Mereka mahu melihat sama ada reformasi yang sering diperkatakan benar-benar berlaku atau sekadar tinggal sebagai pidato politik.
Cabaran menjadi lebih sukar kerana pola pengundi Malaysia kini semakin terpecah mengikut kelompok sosial dan generasi. Pengundi Melayu masih banyak dipengaruhi isu agama, identiti dan kedudukan ekonomi Bumiputera.
Pengundi bukan Melayu pula memberi perhatian terhadap kestabilan ekonomi, tadbir urus dan kebimbangan terhadap politik ekstrem. Dalam masa yang sama, generasi muda lebih pragmatik dan kurang sentimental terhadap sejarah parti politik.
Golongan muda tidak terlalu terikat dengan nostalgia perjuangan lama. Mereka lebih berminat kepada persoalan pekerjaan, gaji, harga rumah dan masa depan hidup. Jika parti politik gagal memahami perubahan psikologi pengundi muda, mereka akan kehilangan kelompok pengundi paling besar dalam PRU-16.
Sabah dan Sarawak juga tidak lagi boleh dianggap sekadar pelengkap angka di Parlimen. Kedua-dua wilayah kini semakin sedar tentang kedudukan strategik mereka dalam menentukan pembentukan kerajaan pusat. Tuntutan berkaitan autonomi, pembangunan wilayah dan pengagihan ekonomi dijangka menjadi isu penting menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam konteks ini, Kerajaan Perpaduan memerlukan naratif yang jauh lebih kukuh daripada sekadar mempertahankan kestabilan politik. Mereka perlu membina keyakinan bahawa kerjasama antara PH, BN, GPS dan GRS benar-benar mampu menghasilkan politik yang lebih matang dan inklusif. Jika gagal, rakyat akan melihat gabungan itu hanya sebagai kompromi kuasa tanpa arah perjuangan yang jelas.
Pembangkang pula dijangka terus memainkan isu tekanan hidup dan ketidakpuasan rakyat terhadap reformasi yang dianggap perlahan. Dalam politik, persepsi sering kali lebih berpengaruh daripada fakta. Walaupun kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai dasar, kegagalan menjelaskan manfaat dasar kepada rakyat boleh menyebabkan segala usaha tersebut tenggelam dalam persepsi negatif.
Media sosial akan memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk sentimen pengundi. Era politik hari ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana. Persepsi boleh dibina dalam tempoh beberapa jam melalui video pendek, siaran langsung dan perdebatan maya. Dalam keadaan ini, parti yang paling pantas mengawal naratif dan memahami emosi rakyat mempunyai kelebihan besar.
Apa yang paling menarik ialah PRU-16 bakal menjadi pertarungan antara dua bentuk keyakinan. Pertama ialah keyakinan bahawa kestabilan politik perlu dikekalkan demi masa depan negara. Kedua ialah keyakinan bahawa rakyat memerlukan perubahan lebih besar daripada sekadar kestabilan.
Rakyat tidak akan membuat keputusan berdasarkan teori politik semata-mata. Mereka akan mengundi berdasarkan pengalaman hidup mereka sendiri. Jika mereka merasakan kehidupan semakin baik, kerajaan mempunyai peluang untuk mempertahankan mandat. Jika mereka merasakan tekanan hidup semakin berat dan reformasi bergerak terlalu perlahan, maka kestabilan yang sebelum ini menjadi kekuatan kerajaan boleh bertukar menjadi liabiliti politik.
PRU-16 akan menjadi pilihan raya yang menentukan arah baharu politik Malaysia. Pilihan raya ini bukan hanya tentang siapa menang atau siapa kalah, tetapi tentang bentuk politik yang mahu dipilih rakyat untuk masa depan negara.
Kerajaan Perpaduan tidak lagi boleh bergantung kepada alasan kestabilan pasca PRU15 semata-mata. Rakyat kini menuntut bukti yang lebih konkrit. Mereka mahu melihat dasar yang menyentuh kehidupan harian, reformasi yang benar-benar berlaku dan kepimpinan yang memahami keresahan rakyat biasa.
Dalam masa yang sama, kemunculan kuasa politik baharu seperti Bersama memperlihatkan bahawa masih wujud ruang untuk eksperimen politik di Malaysia. Namun sejarah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sekadar menilai keberanian politik, sebaliknya turut menilai kemampuan sebenar sesebuah parti untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah negara.
Kekuatan sebenar menjelang PRU16 bukan terletak pada jumlah kerusi atau kekuatan slogan. Kekuatan sebenar terletak pada sejauh mana parti politik mampu membina hubungan emosi dan kepercayaan dengan rakyat. Dalam demokrasi moden, mandat tidak lagi diberi kerana kesetiaan membuta tuli. Mandat diberi kepada pihak yang paling berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar memahami denyut kehidupan masyarakat.
Jika Kerajaan Perpaduan berjaya membuktikan bahawa kestabilan politik membawa manfaat nyata kepada rakyat, mereka masih mempunyai asas moral untuk mempertahankan kuasa. Namun jika rakyat mula melihat kestabilan itu hanya menguntungkan elit politik, maka PRU16 boleh menjadi titik perubahan besar dalam sejarah politik negara.

Oleh Dr Ahamad Jama’ Amin Yang
Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah.
Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















