Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor bukan sekadar ketelanjuran tetapi sengaja dicetuskan untuk menyalakan polemik baharu, kata Armada Bersatu Malaysia.

Ketuanya Muhammad Hilman Idham yang menyifatkan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sebagai biadap berkata, Tony sebenarnya sedar implikasi kenyataan beliau terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Saat isu kebiadapan dan keceluparan pimpinan DAP semakin berleluasa, saya yakin kenyataan tersebut dibuat dengan sengaja untuk meneruskan polemik dan krisis biarpun disedari boleh menggugat keharmonian dan keamanaan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, DAP didakwa semakin berani ‘mengasak’ dan memperlekeh institusi Raja Berperlembagaan kerana merasakan kedudukan mereka kebal dalam Kerajaan Perpaduan.

“Armada yakin, DAP akan terus menggasak dan memperlekeh institusi Raja Berperlembagaan kerana mereka berasa kebal. Ini kerana Kerajaan Perpaduan – Madani kini dibawah telunjuk DAP.

“Sama ada PKR, AMANAH termasuk UMNO, semuanya di bawah telunjuk DAP. Tanpa DAP, mereka tidak mungkin berkuasa,” ujarnya.

Hilman turut mendakwa tiada pemimpin kerajaan berani mengekang tindakan DAP walaupun UMNO dilihat cuba menunjukkan penentangan terbuka.

Beliau turut memetik situasi di Selangor sebagai contoh, apabila UMNO hadir ke Himpunan Daulat Tuanku namun didakwa tidak berani bersuara dalam Dewan Negeri.

“Di Selangor, UMNO ikut Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam, tapi dua orang ADUN UMNO menikus dalam Dewan Negeri dan tidak berani menegur perbahasan biadap ADUN DAP.

“UMNO malah turut bersekongkol untuk menolak usul supaya ADUN Seri Kembangan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau mendakwa DAP semakin agresif melaksanakan agenda politik termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang menurutnya bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Hilman menegaskan, perkembangan itu didakwa meletakkan DAP di puncak kuasa sekali gus menjadikan parti berkenaan semakin berani mencabar institusi Raja Berperlembagaan.

“Justeru, DAP semakin rancak dan berani kerana ketika ini kerana pelbagai agenda mereka berjaya direalisasikan. DAP sedang berada di puncak kekuasaan. Mereka akan terus mencabar institusi Raja Berperlembagaan dan meneruskan polemik ini,” katanya.

Menurutnya, agenda seterusnya yang didakwa bakal digerakkan DAP adalah usaha mengurangkan kuasa Raja-Raja, sesuatu yang menurut beliau perlu dipandang serius oleh rakyat.

Dalam hantaran di Facebook, Tony didakwa berkata Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau turut didakwa menyatakan rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah yang mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Tony berkata beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast