KUALA LUMPUR – Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gegar di sebuah premis rumah kedai empat tingkat sekitar Kota Raya, Jalan Tun Siew Sin, di sini semalam.
JIM dalam satu kenyataan berkata, operasi bermula pukul 3.30 petang itu turut melibatkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hasil risikan selama kira-kira sebulan.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan wanita warga Indonesia; tujuh wanita Bangladesh; lima lelaki Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki Nepal, Indonesia dan Myanmar.
“Bagi membantu siasatan lanjut, pihak JIM turut mengeluarkan 5 saman saksi kepada 2 lelaki warga tempatan dan 3 lelaki warganegara Bangladesh yang berada di premis berkenaan,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti persundalan yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing dan warga tempatan.
Katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan oleh penjaga premis yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan berkenaan.
“Perkhidmatan tersebut ditawarkan pada kadar antara RM80 hingga RM120 bagi setiap sesi “one shot” selama 15 minit.
“Bagi memastikan operasi berjalan secara tersusun, wanita-wanita yang terlibat dijadualkan mengikut dua syif iaitu Syif Siang dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan Syif Malam dari jam 8 malam hingga 5 pagi,” katanya.
Tambahnya, dari aspek keselamatan, premis haram tersebut dikawal rapi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Ujarnya, pengurusan dalaman premis dikendalikan oleh seorang warga asing yang dikenali sebagai “Captain”, manakala kawasan luar premis dipantau oleh seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai “Abang Long Kawasan” bagi menyaring dan memantau pergerakan pelanggan.
Katanya, selain kawalan fizikal dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), sindiket itu turut memilih lokasi berhampiran stesen bas yang sentiasa sibuk bagi mengaburi perhatian pihak penguatkuasa.
“Walau bagaimanapun, Pegawai Risik PASTAK berjaya menembusi sistem kawalan sindiket dan memperoleh maklumat taktikal penting yang membawa kepada kejayaan operasi,” katanya.
Hasil operasi, tambahnya, pasukan operasi turut menyita beberapa barang bukti termasuk buku 555 milik setiap wanita yang ditahan, kondom, minyak pelincir serta set CCTV yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemantauan keselamatan premis.
Ujarnya, kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas yang dimiliki.
“JIM menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – MalaysiaGazette
















