JOHOR BAHRU – Kos Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dijangka meningkat sehingga RM200 juta berbanding PRN Johor pada Mac 2022 iaitu RM150 juta.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kos tersebut terpaksa ditanggung jika PRN Johor diadakan berasingan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Tebrau itu, adalah wajar PRN dan PRU diadakan serentak kerana mampu menjimatkan kos kerajaan serta mengurangkan keletihan politik dalam kalangan rakyat.
“Kalau buat sekali, kita boleh jimat banyak kos. Rakyat pun tidak penat asyik keluar mengundi dalam tempoh singkat.
“Pilihan raya juga memberi kesan kepada produktiviti dan keyakinan pelabur. Bila terlalu kerap pilihan raya, pelabur akan tunggu dan lihat keadaan politik dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan dan meninjau projek naik taraf di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini, hari ini.
Menurutnya, pada masa sama, PKR Johor sudah mula menggerakkan jentera di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persediaan awal. – MalaysiaGazette
















