Datuk Dr Radzi Jidin. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin menyindir UMNO yang didakwa sekadar berdrama apabila kononnya marah terhadap tindakan dan kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua.

Menurut beliau, hakikat sebenar menunjukkan UMNO dan DAP masih terus bekerjasama dalam kerajaan meskipun wujud pelbagai kenyataan keras serta polemik antara kedua-dua parti.

“UMNO berdrama kononnya marahkan kebiadapan DAP. Hakikatnya UMDAP berdakap. Nak percaya lagi UMDAP?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Istilah “UMDAP” sebelum ini sering digunakan pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi menggambarkan kerjasama politik antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Radzi timbul selepas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua didakwa berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/20/tony-pua-bagai-kaduk-naik-junjung-umno-bersama-tuanku-asyraf-wajdi/

Beliau turut didakwa menyatakan rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah yang mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Tony berkata, beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata.

Awal hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengecam kenyataan Tony yang didakwa mempersenda titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak beradab terhadap Institusi Raja walaupun kononnya memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja.

“Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast