Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KULAI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman terhadap seorang pemandu bas selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan cara simbah cat biru di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng di sini, minggu lalu.

Tertuduh, R Haree, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat warna biru dan yang telah menyebabkan kerugian berjumlah hampir RM1,000 terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan terhadap sebuah rumah di Jalan Jambu 21, Taman Muhibah, Saleng pada pukul 1.48 pagi, 15 Mei lalu.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau tidak lebih lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mahkamah, Inspektor Amy Dahlia Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut laporan polis, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun membuat laporan mengenai insiden simbah cat yang terkena pada pagar rumah dan kereta miliknya, pada 14 Mei lalu.

Bertindak di atas maklumat, pihak polis menahan pemandu bas berkenaan pada pukul 7.32 malam di Jalan Senai Utama 11, Taman Senai Utama, di sini, Isnin lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast