Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media di Menara Komunikasi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan (PH) menyiasat aduan insiden kekasaran terhadap pengamal media termasuk mengenal pasti individu yang terlibat untuk tindakan lanjut.

Fahmi yang juga pengarah konvensyen itu memandang serius laporan dibuat Kelab Media Johor (KMJ) berhubung kejadian tersebut dan menyifatkan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah minta supaya pihak sekretariat meneliti aduan yang telah dibuat dan cuba mengenalpasti apakah isu dan siapa yang mungkin terlibat untuk kita ambil tindakan selepas ini,” katanya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Angkasapuri, hari ini.

Jelasnya, beliau kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak sekretariat untuk meneliti secara terperinci aduan yang dikemukakan termasuk mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang mungkin terlibat.

“Selaku pengarah bagi konvensyen tersebut, saya amat kesal dengan kejadian, apatah lagi bila saya amat mengenali pasukan media Johor dan bagi saya perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan pengamal media perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas tanpa sebarang gangguan dalam mana-mana program rasmi atau politik.

“Tapi bagi saya dalam apa-apa acara, wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan tertentu seperti ruang fizikal yang sempit, jumlah kehadiran terlalu ramai dan pergerakan individu yang mahu ditemu bual boleh menyebabkan situasi tidak terkawal.

“Masa yang sama, saya juga memahami dalam keadaan-keadaan tertentu, terutama di ruang-ruang fizikal yang agak terhad ataupun dalam keadaan jumlah kehadiran itu agak tinggi dan ada pergerakan individu yang ingin diwawancara.

“Kadang-kala berlaku insiden-insiden yang tidak diingini, terutamanya untuk para wartawan,” katanya.

Menurut Fahmi, pihak sekretariat sebenarnya telah menyediakan beberapa kemudahan bagi membantu media menjalankan tugas sepanjang konvensyen berlangsung, namun tidak menolak kemungkinan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tertentu.

Semalam, Kelab Media Johor (KMJ) membuat laporan polis susulan tindakan agresif skuad keselamatan parti politik terhadap petugas media ketika membuat liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, Ahad lalu.

KMJ menzahirkan rasa kesal dengan tindakan melampau skuad keselamatan itu yang bertindak menghalang tugas pengamal media dari Johor dan Kuala Lumpur yang mengundang kepada insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast