Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Perbuatan biadab pihak yang mewujudkan akaun TikTok palsu menghina serta mencemari maruah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim disifatkan satu jenayah yang mencabar institusi diraja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perbuatan itu juga melukai perasaan Bangsa Johor dan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri itu berkata, apa yang dilakukan bukan sekadar jenaka atau satira.

“Tindakan biadab ini dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan fitnah bersandarkan imej yang diubah suai secara melampau.

“Begitu juga imej baginda yang dipadankan pada tubuh binatang, ia mencerminkan tindakan yang tidak berperikemanusiaan, biadab dan bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat majmuk Malaysia.

“Semakan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mendapati akaun palsu menggunakan nama Sultan Ibrahim Ismail itu memuat naik kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan institusi diraja.

“Antara kandungan yang dimuat naik adalah imej Seri Paduka Baginda yang kononnya memaparkan baginda gemar memakan daging khinzir, serta imej wajah baginda yang dipadankan pada tubuh seekor binatang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menegaskan, tindakan mendakwa Agong makan daging khinzir merupakan satu penghinaan terus kepada agama Islam memandangkan baginda ialah Ketua Agama Islam bagi Persekutuan selain juga memfitnah seorang Ketua Negara.

Mohd Hairi meminta Kementerian Komunikasi tidak mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’, sebaliknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pelaku tersebut.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan siasatan dan pendakwaan perlu dibuat bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Fitnah 1957.

“Sebagai wakil rakyat DUN Larkin dan seorang anak Johor, saya menegaskan bahawa maruah raja adalah maruah rakyat Johor dan rakyat Malaysia. Tidak ada satu pun alasan yang boleh membenarkan penghinaan sebegini,” katanya.

Selain daripada tindakan segera, beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah signifikan bagi mengekang penularan akaun palsu dan kandungan lucah serta menghina institusi negara.

“Langkah yang perlu diambil ialah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kandungan lucah dan menyinggung perasaan perlu diperkukuhkan dengan menambah hukuman minimum mandatori bagi kes yang melibatkan penghinaan terhadap institusi beraja dan pemimpin negara.

“Pindaan perlu jelas memperuntukkan bahawa penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan palsu (deepfake) bagi tujuan memfitnah atau menghina adalah satu kesalahan jenayah berat,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu merangka satu akta baharu yang mengawal selia penghasilan, penyebaran dan penggunaan kandungan AI yang palsu bagi tujuan menipu, memfitnah atau menghina mana-mana individu atau institusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast