PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kembali meneruskan inisiatif Skim Simen Rahmah bermula 1 Jun ini bagi menangani kenaikan kos bahan binaan serta cabaran ekonomi global yang kian menekan rantaian bekalan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, skim kali ini diperluaskan kepada dua segmen kritikal itu Projek Perumahan Mampu Milik di bawah Kerajaan Persekutuan MADANI KPKT dan Projek Pemajuan Perumahan Mampu Milik di bawah Kerajaan Negeri.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan komponen kritikal dalam komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan agenda perumahan negara tidak terhenti malah terus dipacu demi memastikan tiada segmen masyarakat yang terpinggir daripada memiliki kediaman sendiri.
“Bagi menyokong sasaran ini, Inisiatif Simen Rahmah pada fasa pertama akan menyediakan sebanyak 1.6 juta tan metrik simen untuk menyokong projek rumah mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah seunit.
“Dengan menstabilkan kos simen, kita memberikan ‘ruang bernafas’ kepada pemaju untuk mengekalkan harga jualan yang rendah tanpa mengorbankan kualiti binaan,” katanya pada sidang Skim Simen Rahmah di kementeriannya di sini, hari ini.

Pada 2023, KPKT melancarkan Skim Simen Rahmah di mana telah mencatatkan kegunaan 317,000 tan metrik simen untuk menyokong pembinaan 11,909 unit rumah mampu milik.
Mengulas lanjut, Kor Ming menambah, dengan menstabilkan kos simen, KPKT memberikan ‘ruang bernafas’ kepada pemaju untuk mengekalkan harga jualan yang rendah tanpa mengorbankan kualiti binaan.
Sehubungan itu, katanya, kementerian mengekalkan harga subsidi simen pukal yang diitetapkan pada RM290 per tan metrik iaitu penurunan 32 peratus berbanding harga pasaran RM425 dan simen kampit 50 kilogram ditetapkan pada RM17.50 sekampit iaitu penurunan 30 peratus berbanding harga pasaran (RM24.90).
“Melalui langkah ini, kita berharap agar kos bahan binaan terkawal dan mengurangkan risiko projek rumah mampu milik menjadi ‘sakit’ atau ‘terbengkalai’.
“Apabila kos asas sudah distabilkan, tiada lagi alasan untuk pemaju mengurangkan kualiti bahan lain. Ini memastikan rakyat mendapat rumah yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga berkualiti untuk didiami.
“Bagi memastikan tiada ketirisan, proses permohonan skim ini akan diselaraskan sepenuhnya melalui Housing Integrated Management System (HIMS) oleh Jabatan Perumahan Negara bagi memastikan setiap ketetapan kriteria dipatuhi dengan ketat.
Kor Ming memberitahu, Inisiatif itu turut merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan rakyat seperti inisiatif BUDI95, Budi Diesel, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam menangani cabaran kos sara hidup. – MalaysiaGazette

















