JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah mengenal pasti pekerja kontraktor yang melanggar seekor anjing ketika melaksanakan operasi penghapusan anjing liar di sini minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, insiden perlanggaran anjing liar itu berlaku di kawasan Puteri Wangsa, pada 15 Mei lalu.
“Siasatan dalaman MBJB mendapati individu yang terlibat merupakan pekerja kepada kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan operasi penghapusan kacau ganggu anjing liar.
“Sehubungan itu, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor atas kegagalan mematuhi SOP dan syarat pelantikan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MBJB juga membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur kecuaian, salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang.
Jelas Mohd Jafni, sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau kecuaian, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil.
Menurutnya, ini termasuk penggantungan operasi, penamatan kontrak, senarai hitam serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kerajaan negeri turut mengingatkan bahawa selaras dengan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MBJB) 1995, setiap pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab memastikan anjing dipelihara secara terkawal dan tidak dilepaskan bebas tanpa pemantauan sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam serta mengundang risiko kepada keselamatan masyarakat,” katanya.
MBJB katanya, memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian, salah laku atau ketidakpatuhan terhadap SOP yang ditetapkan.
“Saya ingin menegaskan bahawa setiap operasi penguatkuasaan berkaitan tangkapan dan pelupusan anjing terbiar di kawasan pihak berkuasa tempatan wajib dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan mematuhi sepenuhnya SOP penangkapan dan pelupusan anjing terbiar yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebarang tindakan yang melanggar SOP, mencemarkan imej penguatkuasaan atau menimbulkan keresahan awam tidak akan dilindungi oleh kerajaan negeri,” tegasnya.
Terdahulu tular video yang memaparkan sebuah pikap melanggar seekor anjing dalam operasi penghapusan anjing liar di kawasan Puteri Wangsa, Johor Bahru minggu lalu.
Insiden tersebut menimbulkan kemarahan netizen yang mahu hukuman dikenakan terhadap individu terlibat. – MalaysiaGazette
















