Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berkaitan tangkapan sindiket ''Call Centre'' dalam empat serbuan berasingan di Daerah Shah Alam dan Daerah Sepang di IPK Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MEI 2026.

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat susulan hantaran dimuat naik di media sosial yang didakwa menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Menurut beliau, sehingga pagi Khamis, sebanyak 59 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung kenyataan yang dimuat naik oleh Tony Pua dan siasatan kini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Sehingga pagi tadi saya telah ditaklimatkan sebanyak 59 laporan polis dibuat di seluruh negara dan siasatan dijalankan oleh pihak IPK Selangor.

“Keseluruhan 59 laporan itu melibatkan pelbagai balai polis di seluruh negara, bukan hanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titah baginda menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi membaca Rukun Negara yang dipamerkan di plak lokasi berkenaan selain menghormati institusi raja.

Susulan itu, Tony Pua menerusi hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa Raja secara amnya tertakluk kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast