JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan kini hidup dalam ketakutan selepas diugut along yang mahu membakar rumah, mencederakan selain menculik dan menjual organ anaknya.
Chan Chee Hau, 36, berkata, ugutan tersebut diterimanya semasa mahu membuat pinjaman RM50,000 untuk modal pusingan perniagaannya.
Dia yang menjalankan perniagaan sewa kereta di Kuala Lumpur berkata, semuanya bermula pada 8 Mei lalu selepas melihat satu iklan pinjaman wang dalam Facebook yang menggunakan logo syarikat pinjaman wang berlesen.
Chee Hau yang merupakan seorang duda berminat untuk membuat pinjaman RM50,000 dan pada awalnya berurusan dengan seorang lelaki menerusi telefon.
Pada pukul 2 petang pada hari sama, dia bertemu dengan lelaki terbabit di sebuah pasar raya di Taman Molek di sini.
Dia mendakwa, lelaki berkenaan mengambil videonya sambil memegang kad pengenalan serta tidak lama kemudian ada pihak memberitahunya terdapat wang RM3,000 dipindahkan dalam akaunnya.
“Cara dia berbual amat profesional sama seperti pekerja bank, dia kemudian meminta saya untuk memindahkan RM4,000 serta RM329 untuk urusan sistem serta insurans dan menyatakan akan dipulangkan semula bersama-sama wang pinjaman.
“Selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada empat ceti haram yang mahu menawarkan pinjaman hingga saya berasa was-was bagaimana mereka mendapat butiran saya.
“Saya juga dihubungi wakil syarikat yang merakamkan video saya terdahulu mendakwa sistem tergendala hingga video dirakam terpadam serta ingin membuat rakaman semula,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalahnya kepada Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Lee Wern Yiing dan Pengerusi DAP Seri Alam, Wong Chu Hoe di Pejabat ADUN Johor Jaya di Taman Johor Jaya di sini hari ini.
Bercerita lanjut, katanya, pada pukul 3.30 petang, 14 Mei lalu dia kembali bertemu dengan seorang wakil syarikat yang merakamkan videonya sambil memegang kad pengenalan.
Malah dia juga diminta untuk mengisi borang, namun selepas urusan berkenaan dia tidak menerima sebarang pinjaman dijanjikan dan kesemua wakil yang berurusan dengannya gagal dihubungi.
Chee Hau kemudian membuat laporan di Balai Polis Skudai di sini pada 14 Mei lalu.
“Pada pukul 10.30 pagi, 18 Mei lalu, ketika berada di rumah saya menerima pesanan ringkas daripada dua ceti haram menuntut RM1,500 termasuk wang faedah.
“Mereka juga menghantar gambar kad pengenalan saya dan mendakwa saya pernah membuat pinjaman,” katanya.
Dia semakin buntu dengan dakwaan tersebut dan tidak pasti sama ada butirannya disalah guna pihak tertentu bagi membuat pinjaman.
“Saya tidak menolak kemungkinan mungkin ini strategi sindiket tertentu bagi memperdaya orang ramai.
“Namun saya semakin bimbang apabila mereka ugut akan mengupah orang untuk membakar kediaman, mencederakan bapa saya yang sudah berusia 60-an serta dua anak saya yang masih bersekolah rendah.
“Mereka ugut mahu menculik anak serta menjual organ. Saya semakin tidak tenteram akibat ugutan berkenaan,” katanya yang kerugian RM1,329 semasa berurusan dengan along terbabit.- MalaysiaGazette
















