MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan dua lagi jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M telah meninggal dunia di Makkah.
Jemaah pertama merupakan seorang lelaki berasal daripada Parit Buntar, Perak berusia 64 tahun.
Allahyarham yang datang bersama isterinya ke Tanah Suci disahkan meninggal dunia di Hospital King Faisal pada 19 Mei, pukul 8.29 malam akibat asma yang teruk.
Dia adalah jemaah yang dibawa oleh syarikat pengelola jemaah haji daripada kumpulan KT79 dan menginap di Al Safwah Hotel di Makkah.
Manakala jenazah kedua adalah wanita dari Tawau, Sabah, berusia 66 tahun dari kumpulan KT82.
Allahyarham yang datang bersama suaminya menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer di sini.
TH berkata, allahyarhamah meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 20 Mei pukul 10.50 pagi akibat serangan jantung.
“Kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Makkah.
“TH mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















