KUALA LUMPUR – Galakan supaya rakyat menggunakan pengangkutan awam tidak boleh sekadar menjadi slogan semata-mata sebaliknya perlu seiring dengan kecekapan sistem.
Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Ainie Haziqah Shafiee menegaskan, jika kerajaan benar-benar serius mahu membudayakan penggunaan pengangkutan awam, pelaburan terhadap penyelenggaraan dan keselamatan yang konsisten sepatutnya perlu dijadikan keutamaan.
“Apabila penyelenggaraan tidak dijadikan keutamaan yang pantas, maka kerosakan demi kerosakan akhirnya dianggap perkara biasa.
“Akibatnya, rakyat menjadi mangsa kepada kegagalan perancangan jangka panjang kerajaan sendiri.
“Rakyat tidak perlukan lebih banyak alasan. Rakyat perlukan sistem pengangkutan awam yang benar-benar berfungsi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Rapid Rail bahawa 26 tren bagi Laluan Kelana Jaya akan digantikan secara berperingkat bermula tahun 2029 secara tidak langsung mengesahkan bahawa sistem pengangkutan awam negara, khususnya Laluan Kelana Jaya sedang berdepan masalah yang serius dan telah lama berlarutan.
Menurut Ainie Haziqah, rakyat bukan sahaja berhadapan dengan kelewatan tren dan gangguan perkhidmatan hampir setiap minggu, malah terpaksa menanggung kesesakan lalulintas yang makin melampau, risiko keselamatan serta kehilangan masa akibat kegagalan sistem yang sepatutnya menjadi nadi pengangkutan bandar di negara ini.
Beliau turut mendakwa ramai dalam kalangan penggiat industri dan jurutera sendiri mengakui bahawa kebanyakan masalah itu bukan berpunca daripada kelemahan tenaga kerja teknikal semata- mata.
Ujarnya, antara punca utama ialah kegagalan dan kelewatan meluluskan cadangan penyelenggaraan, penggantian komponen dan penambahbaikan sistem akibat kekangan bajet serta kurangnya komitmen daripada pihak pengurusan dan kerajaan.
Beliau berkata, sudah tentu rakyat sukar untuk yakin dengan pengangkutan awam sekiranya prestasi yang terbukti adalah sebaliknya.
“Dalam masa sama, rakyat banyak disaran untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, kos sara hidup dan kesan terhadap alam sekitar.
“Namun persoalannya, bagaimana rakyat mahu yakin untuk menggunakan pengangkutan awam jika sistem pengangkutan awam sendiri sering rosak, tergendala,lewat, tidak selamat dan tidak diselenggara secara serius?” soalnya. – MalaysiaGszette
















