JOHOR BAHRU – Isu sebenar polemik Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan soal kaum atau kemampuan bertutur dalam Bahasa Melayu semata-mata.
Sebaliknya, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak berkata, isu itu lebih besar iaitu berkenaan mempertahankan identiti pendidikan kebangsaan, jati diri nasional dan masa depan perpaduan negara.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong tentang perkara itu yang dibahaskan dalam program SKOP MG baru-baru ini.
Katanya, Kok Seong ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk `Apa Sebenarnya UEC: Mengapa Ia Ditentang’ bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee, Isnin lalu, memaklumkan bahawa status quo UEC wajar dikekalkan.
“Padangan Profesor Teo Kok Seong bahawa status quo berkaitan UEC wajar dikekalkan, iaitu membenarkan sistem tersebut terus beroperasi sebagai entiti pendidikan swasta tanpa pengiktirafan rasmi ke dalam kerangka sistem pendidikan nasional.
“Pada pandangan saya, pendekatan ini lebih seimbang dan realistik dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.
“Hak untuk menjalankan sistem pendidikan persendirian boleh terus dihormati sebagai sebahagian daripada kebebasan pendidikan, namun pada masa yang sama kerajaan perlu mempertahankan keutamaan sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas utama pembinaan identiti nasional, perpaduan rakyat dan pembentukan negara bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau melihat perdebatan wacana antara Kok Seong dan Howard Lee sebagai satu gambaran jelas tentang pertembungan dua pendekatan pemikiran terhadap isu pendidikan nasional, identiti kebangsaan dan hala tuju negara.
“Pada pandangan saya, Profesor Teo membawa hujah yang lebih berprinsip, tersusun dan berteraskan kerangka pembinaan negara bangsa melalui pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, serta kepentingan integrasi nasional yang lebih menyeluruh.
“Dalam dialog tersebut juga, saya melihat beberapa respons Howard Lee lebih cenderung bersifat defensif dan emosional apabila berhadapan dengan isu berkaitan asimilasi, integrasi pendidikan dan identiti nasional,” katanya.
Ujarnya, walaupun Horward Lee menampilkan imej sebagai pemimpin yang fasih berbahasa Melayu namun penguasaan bahasa sahaja tidak memadai sekiranya tidak disertai dengan penghayatan mendalam terhadap prinsip asas pembinaan negara.
“Saya juga berpandangan bahawa Profesor Teo lebih konsisten dalam membawa pendekatan akademik dan kenegaraan.
“Ketegasan beliau mempertahankan dasar pendidikan nasional menunjukkan beliau melihat pendidikan sebagai instrumen utama pembinaan negara bangsa, bukannya sekadar isu politik semasa,” katanya.- MalaysiaGazette
















