Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Malaysia mampu mencapai keamanan sebenar tanpa DAP yang disifatkan sebagai parti cauvinis dan menjadi punca ketegangan kaum dalam negara selama ini, kata Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya.

Menurut beliau, DAP dilihat terus ‘bertembung’ dengan institusi diraja walaupun titah sultan sudah beberapa kali diperjelaskan kepada umum.

“Apabila Tuanku Sultan bertitah, seharusnya kita akur. Apatah lagi titah Tuanku Sultan diulang-ulang beberapa kali. Namun tidak sesekali bagi parti berlatar belakang cauvinis seperti DAP yang masih tegar ‘bertembung’ dengan istana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.

Ia ekoran tindakan Siew Ki yang mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.

Cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ronnie Liu pula menyarankan supaya memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, rakyat perlu menilai pihak yang didakwa menjadi punca kepada pelbagai isu sensitif termasuk ketegangan kaum walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan.

“Cuba kita renungkan, mengapa ketegangan kaum berlaku antara kita? Sedangkan kita sudah mencapai kemerdekaan beberapa dekad yang lalu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang didakwa lantang mempertahankan industri arak dan judi selain terus memperjuangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Siapa yang lantang mempertahankan industri arak dan judi dalam negara? Siapa yang lantang mempertahankan UEC meskipun telah diketahui akar pendidikannya tidak bertunjang kebangsaan?” soalnya.

Menurut Ahmad, terdapat juga pihak yang terus mempertahankan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) selain campur tangan dalam urusan umat Islam termasuk berkaitan pensijilan halal dan undang-undang syariah.

“Negara masih terperangkap dalam isu-isu di atas kerana ada pihak yang tegar memperjuangkannya meskipun menyedari isu-isu sedemikian sangat sensitif.

“Kedegilan merekalah menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan. Oleh sebab itulah, sebenarnya Malaysia boleh kecapi keamanan sebenar tanpa mereka. Malaysia yang aman tanpa DAP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast