JOHOR BAHRU – Pas Johor hari ini menafikan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Johor seperti dakwaan yang tular ketika ini.
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, dakwaan tersebut dimainkan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap parti itu.
“Pas tidak bertanding di Johor? Itu hanyalah gerak saraf yang dimainkan oleh pihak tertentu bagi membentuk persepsi dan melemahkan semangat jentera.
“Hakikatnya sehingga hari ini tiada sebarang arahan rasmi sedemikian dikeluarkan oleh pimpinan parti.
“Malah pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sendiri beberapa kali menegaskan bahawa jentera di Johor berada dalam keadaan siap siaga menghadapi PRN pada bila-bila masa,” tulis beliau dalam Facebook hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Pas kekal fokus, terus memperkukuhkan gerak kerja dan bersedia melangkah masuk ke medan pilihan raya apabila sampai waktunya.
“Jangan mudah terpengaruh dengan permainan persepsi politik semasa kerana kami juga terus bekerja dan kekal fokus di lapangan. Tiada masa untuk berlengah,” katanya.
Terdahulu tular mendakwa Pas tidak akan bertanding dalam PRN Johor dan memberi laluan kepada UMNO untuk menang.
Didakwa juga itu sebagai sebahagian daripada persefahaman politik tersebut dan Pas dikatakan akan diberikan ihsan politik oleh UMNO sekiranya Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerajaan negeri.
Antara yang hangat diperkatakan ialah kemungkinan beberapa nama daripada Pas akan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan bagi memberi ruang penyertaan dalam pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette
















