GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah cecair vape atau ‘piau piau’ selepas menahan dua individu serta merampas pelbagai jenis dadah serta harta bernilai RM199,794 dalam operasi di Seberang Perai Utara, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan selama sembilan jam bermula jam 9 pagi itu dijalankan menerusi dua operasi berasingan membabitkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 42 dan 36 tahun.
Katanya, suspek lelaki diberkas di kawasan parkir kenderaan sebelum polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang wanita.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 123 katrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.35 kilogram (kg).
“Polis turut merampas 11 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah MDMA seberat 396 gram (g), tiga paket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 2.55g serta tujuh foil aluminium mengandungi 70 biji pil dipercayai Erimin 5.

“Lima peranti elektronik turut dirampas selain kita menyita dua kenderaan iaitu Toyota Altis dan Toyota Estima serta wang tunai RM1,069 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam serbuan tersebut dianggarkan sebanyak RM199,794 melibatkan rampasan dadah bernilai RM88,725 serta sitaan harta berjumlah RM111,069.
Mengulas lanjut Azizee berkata, mereka dipercayai aktif sejak Mac lalu dan ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif methamphetamine.
“Kedua-dua mereka yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azizee menegaskan, setakat Mei ini, sebanyak 115 kes dengan 207 tangkapan direkodkan membabitkan dadah cecair vape di negeri ini.
“JSJN IPK Pulau Pinang sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Farmasi Pulau Pinang dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah menggunakan vape,” katanya. – MalaysiaGazette
















