Stadium Taha Ariffin juga akan menjalani proses penaiktarafan antara empat hingga enam bulan dengan kos dijangka mencecah sekitar RM7 juta.

KUALA LUMPUR – Stadium Negeri Sarawak kini dikenali sebagai Stadium Taha Ariffin selepas perubahan nama stadium itu diumumkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.

Abdul Karim memaklumkan nama itu dipilih bagi mengenang jasa dan legasi pengasas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Allahyarham Datuk Mohamad Taha Ariffin.

Selepas mengasaskan badan itu pada 1974, Allahyarham antara figura penting yang mencorak kemajuan bola sepak Sarawak. Ini termasuk kejayaan bergelar juara Piala FA pada 1992.

“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak mencapai kejayaan besar termasuk muncul juara Piala FA Malaysia pada 1992 selain menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) selama tiga penggal berturut-turut pada 1990, 1992 dan 1994.

“Kejayaan itu mencerminkan visi, dedikasi serta kepimpinan Allahyarham dalam membinabudaya dan identiti sukan yang kukuh untuk Sarawak,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Abdul Karim turut melihat nama Stadium Taha Ariffin sebagai simbol kesinambungan legasi bola sepak negeri yang kini diteruskan generasi baharu.

Stadium Taha Ariffin merupakan gelanggang keramat Kuching City FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang menjadi saksi The Cats layak ke Asia buat kali pertama dalam sejarah.

Kuching City layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas bergelar naib juara Liga Super musim 2025/26.

Stadium Taha Ariffin juga akan menjalani proses penaiktarafan antara empat hingga enam bulan dengan kos dijangka mencecah sekitar RM7 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast