KOTA TINGGI – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman denda RM20,000 ke atas sebuah syarikat kerana mempamerkan bahan merokok tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang, tahun lalu.
Syarikat CKS Retail Sdn. Bhd. yang menjalankan operasi di sebuah pasar raya di Bandar Tenggara di sini, dijatuhi hukuman denda itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mahkamah turut memerintahkan amaran waran melevi jika denda berkenaan gagal dijelaskan.
Orang Kena Saman (OKS) itu didakwa mempamerkan bahan merokok tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang di sebuah pasar raya di sini, pukul 11.25 pagi, pada 1 Oktober 2025.
Pendakwaan dibuat terhadap syarikat berkenaan mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 6(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemilik perniagaan, Mohamad Fikri Muddasir, 27, didenda RM2,500 atau penjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Pemilik Fikri Muddasir Enterprise itu mengaku bersalah atas tuduhan gagal mempamerkan tanda amaran merokok dengan cara yang mudah dilihat pada setiap masa seperti yang dituntut dalam jadual pertama di kedai runcit berkenaan di sini, pukul 11.10 pagi, 28 Julai 2025.
Dia didapati melanggar Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 7(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Mohd Irwan Othman.
Pada masa sama, JKNJ dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius sebarang ketidakpatuhan undang-undang yang membabitkan produk merokok.
Katanya, semua peniaga peruncitan dan pemilik perniagaan diseru supaya sentiasa mematuhi segala garis panduan serta peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan dan tindakan mahkamah yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















