Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy

KUALA LUMPUR –  Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), G Sivamalar mengingatkan semua pihak termasuk bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua supaya berhati-hati ketika membicarakan isu melibatkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dalam isu menyentuh asas kenegaraan negara, semua pihak perlu melihat keseluruhan kerangka sistem negara secara seimbang dan bukan hanya dari sudut yang menyokong sesuatu pandangan tertentu.

Menurutnya, mukadimah Rukun Negara jelas menekankan soal perpaduan nasional, pemeliharaan cara hidup demokratik, keadilan yang saksama serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.

Katanya, dalam konteks Malaysia, semua prinsip itu bergerak seiring dengan kerangka Raja Berperlembagaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara, bukannya sesuatu yang boleh diperlekeh atau ditafsir secara sempit demi kepentingan politik.

“Tiada siapa mengatakan Malaysia ditadbir melalui ‘decree’ sesuka hati seperti yang cuba digambarkan.

“Itu hanyalah hujah strawman (memutarbelitkan isu atau hujah asal supaya kelihatan lebih ekstrem) yang tidak membantu kepada pemahaman rakyat terhadap realiti sistem kenegaraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivamalar berkata, pandangan Almarhum Sultan Azlan Shah dalam esei bertajuk ‘The Role of Constitutional Rulers’ juga sangat relevan dalam memahami peranan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

A king is a king, whether he is an absolute or constitutional monarch. But it is a mistake to think that the role of a king in a constitutional monarchy is confined to what is laid down by the Constitution. His role far exceeds those constitutional provisions,” menurut petikan dikongsikannya.

Katanya, pandangan itu mengingatkan rakyat bahawa sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mempunyai peranan, nilai dan roh yang lebih luas daripada sekadar bacaan literal terhadap teks perundangan.

Tambah beliau, kenyataan pemimpin politik yang dilihat mempertikai titah atau teguran Sultan bukan sekadar perbezaan pandangan politik, malah boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati semangat Rukun Negara khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Katanya, Malaysia memerlukan perbahasan yang matang, berasaskan fakta serta kefahaman menyeluruh terhadap sistem kenegaraan negara tanpa menjejaskan keharmonian institusi raja yang menjadi tunjang negara.

“Rakyat hari ini cukup bijak untuk menilai sesuatu kenyataan secara adil dan kita semua mempunyai tanggungjawab memastikan wacana awam terus dipandu oleh kebijaksanaan, hormat terhadap institusi dan semangat perpaduan nasional,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast