Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (tengah) bersama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Badrulhisyam Fauzi (kiri) memegang Buku Laporan Tahunan Bersepadu 2025 di Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 TNB yang diadakan di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar hari ini

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited memacu peralihan tenaga negara secara adil dan bertanggungjawab, sambil memastikan manfaat jangka panjang dapat dinikmati oleh pemegang saham, negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, TNB memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi negara menuju masa depan dengan tenaga rendah karbon yang lebih lestari dan inklusif ketika Malaysia mempercepat usaha di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Menurut beliau, TNB memperkukuh usaha integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan grid elektrik dan pengurusan karbon bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebagai syarikat utiliti utama negara, TNB memikul tanggungjawab besar dalam memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang, bertanggungjawab tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“Fokus kami kekal dalam memastikan jaminan bekalan tenaga, mempercepat usaha peralihan tenaga dan memperkukuh daya tahan sistem grid elektrik negara, sambil terus mencipta nilai lestari untuk pemegang saham dan juga rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-36 di sini hari ini.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (tengah) bersama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (kiri, baris depan) dan Setiausaha Syarikat TNB, Ali Munawar Salim (kanan, baris depan) di Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 TNB yang diadakan di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar hari ini.

Abdul Razak menambah, sepanjang tahun ini, TNB komited melaksanakan pelbagai inisiatif selaras dengan NETR, termasuk pembangunan solar berskala besar, penyelesaian tenaga boleh baharu hybrid dan teknologi rendah karbon.

Antara pencapaian utama ialah pemeteraian perjanjian Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) berkapasiti 785-megawatt peak (MWp) bagi menyokong operasi pusat data menggunakan bekalan tenaga hijau.

“Selain itu, TNB turut membangunkan projek solar terapung hybrid hidro di Kenyir, Terengganu, serta inisiatif hidrogen hijau di Stesen Janakuasa Jimah East, Negeri Sembilan.

“Langkah ini mengukuhkan kedudukan TNB dalam industri tenaga rendah karbon dan membantu usaha negara mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, bagi memastikan bekalan elektrik terus terjamin dan boleh dipercayai, TNB melaburkan RM15.7 bilion untuk perbelanjaan modal pada tahun 2025 berbanding RM11.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu kata beliau, RM12 bilion diperuntukkan khusus untuk pemodenan grid negara di mana pelaburan itu penting bagi menyokong memastikan bekalan elektrik kekal stabil, menyokong integrasi tenaga boleh baharu, juga memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

“Pelaburan TNB dalam grid menjadi semakin penting dengan meningkatnya permintaan elektrik yang dipacu oleh pengelektrikan industri, pendigitalan, mobiliti elektrik dan pertumbuhan pusat data di Malaysia.

“Pelaburan ini turut membantu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dengan prestasi Sistem Minit direkodkan pada 0.15 minit, jauh lebih baik berbanding penanda aras global iaitu kurang 1.5 minit. Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) juga bertambah baik iaitu 46.93 minit berbanding 47.88 minit pada tahun 2024.

“Fokus TNB dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya diterjemahkan melalui Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) yang mencapai rekod tertinggi sebanyak 90 peratus pada tahun 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

Dari kiri, Ketua Pegawai Kewangan TNB, Badrulhisyam Fauzi; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad; Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid; dan Setiausaha Syarikat TNB, Ali Munawar Salim di Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 syarikat.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast