Dr. Luqman Abdullah

MAKKAH – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menegaskan, ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke Tanah Suci sebaliknya kemuncak penyempurnaan rukun Islam yang menuntut pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Menurut beliau, susunan lima rukun Islam sendiri menggambarkan perjalanan pembinaan seorang Muslim bermula dengan syahadah, diikuti solat, puasa, zakat dan akhirnya haji.

Katanya, syahadah menjadi asas pengisytiharan iman kepada Allah SWT sebelum diperkukuhkan menerusi solat, manakala puasa mendidik jiwa dan zakat melatih pengorbanan terhadap harta.

“Dalam ibadah haji pula, semua elemen itu dihimpunkan sekali. Ada akidah, ibadah, tarbiah, pengorbanan dan hubungan sesama manusia.

“Haji mendidik manusia supaya patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT dan sanggup meninggalkan segala kepentingan dunia demi memenuhi panggilan-Nya,” katanya yang juga Pakar Rujuk Lembaga Tabung Haji ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, ibadah haji turut membuka mata umat Islam mengenai kesatuan ummah apabila jutaan manusia dari seluruh dunia berhimpun di satu tempat dengan tujuan yang sama iaitu menyembah Allah SWT.

Mengulas mengenai kepentingan wukuf di Arafah, beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri menegaskan “Al-Hajju Arafah” yang menggambarkan besarnya kedudukan wukuf dalam ibadah haji.

“Di Arafah semua manusia berkumpul tanpa mengira darjat, bangsa atau kedudukan. Orang kaya dan miskin memakai ihram yang sama, tertakluk kepada pantang larang yang sama.

“Itulah simbol persamaan dalam Islam. Semua datang hanya sebagai hamba Allah SWT,” jelas beliau.

Beliau berkata, suasana wukuf yang memperlihatkan jemaah dalam keadaan berdebu, kusut dan sederhana juga menggambarkan sifat tawaduk seorang hamba di hadapan Allah SWT.

Katanya, keadaan itu menzahirkan manusia meninggalkan segala kemegahan dunia dan datang hanya untuk memohon keampunan serta rahmat Allah SWT.

“Rasulullah SAW sendiri ketika menunaikan haji berdoa agar hajinya bebas daripada unsur riak dan sum’ah (melakukan ibadah atau kebaikan dengan tujuan perbuatan tersebut  diketahui orang lain bagi mendapatkan pujian dan perhatian). Itu gambaran bahawa haji perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Mengulas isu perbezaan kemudahan dan fasiliti dalam ibadah haji masa kini, beliau berkata, kemewahan bukan ukuran penerimaan haji seseorang.

Menurutnya, keikhlasan tidak bergantung kepada hotel, pakej atau kemudahan diterima, sebaliknya diukur menerusi hati dan penghayatan ibadah.

Beliau berkata, terdapat tiga perkara utama yang menentukan sama ada seseorang memperoleh haji mabrur iaitu keikhlasan, mematuhi rukun dan syarat haji serta menjaga diri daripada perkara maksiat dan larangan sepanjang ibadah.

“Mungkin orang yang berada dalam fasiliti lebih mewah lebih ikhlas daripada orang lain dan mungkin juga sebaliknya. Yang menentukan haji mabrur ialah hati seseorang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jemaah supaya membuat persediaan mental dan fizikal menjelang wukuf di Arafah terutama dalam keadaan cuaca panas melampau.

Katanya, penjagaan kesihatan amat penting termasuk memastikan tubuh sentiasa terhidrat, mengambil ubat mengikut jadual serta mengurangkan aktiviti yang boleh menyebabkan keletihan melampau.

“Gunakan masa wukuf untuk memperbanyakkan zikir, doa dan munajat kepada Allah SWT kerana itulah antara waktu paling mustajab.

“Bagi jemaah yang pertama kali datang ke Tanah Suci, jangan terlalu gementar. Ikuti panduan pembimbing haji, buku ibadah dan fokus kepada penghayatan ibadah. Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast