Gambar: Ihsan KPDN.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi khas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 20 Mei lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 2 petang itu, pasukan serbuan berjaya merampas kira-kira 43,000 liter cecair disyaki minyak diesel bersubsidi bersama pelbagai peralatan dan kenderaan dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM247,198.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi berkenaan melibatkan lima pegawai Pasukan Serbuan KPDN Putrajaya bersama empat pegawai PDRM Bukit Aman hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan sebelum serbuan dilakukan.

Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai menggunakan modus operandi membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan fleet card milik pihak lain di stesen minyak sebelum minyak berkenaan dipindahkan ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC).

“Minyak diesel tersebut kemudiannya dibawa ke sebuah premis stor penyimpanan sebelum dijual kepada sektor industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan di premis itu mendapati terdapat tiga unit tangki simpanan yang disambungkan dengan saluran paip, termasuk satu tangki mengandungi kira-kira 35,000 liter cecair disyaki minyak diesel.

Pasukan penguat kuasa turut mengesan sebuah lori bersama tangki IBC mengandungi kira-kira 2,000 liter minyak diesel yang sedang melakukan kerja pemindahan ke tangki simpanan.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah lagi lori membawa tangki IBC yang mengandungi kira-kira 6,000 liter cecair disyaki minyak diesel.

“Siasatan awal mendapati pihak premis gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen berkaitan penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual,” katanya.

Menurut beliau, pihak penguat kuasa menyita dua lori, tangki simpanan, hos paip, tangki IBC, fleet card pelbagai jenama serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Dalam serbuan sama, tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Bagi syarikat atau badan korporat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua.

KPDN menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan subsidi negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan dan subsidi boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast